Ketuanya Saari Sungib berkata, ia sebagai sebahagian daripada usaha memberi kesedaran kepada masyarakat atas keperluan pembebasan Anwar yang dianggap sebagai negarawan terulung.
“Ini adalah usaha memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa masalah yang berlaku dalam negara dapat diselesaikan dengan menukar kerajaan.
“Namun, fokus dan keutamaan kami adalah ke arah pembebasan Anwar,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum memohon perkenan Yang DiPertuan Agong, Sultan Muhammad V bagi proses pengampunan di raja terhadap Anwar.
Terdahulu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerusi Kumpulan Kerja Penahananan Arbitrari mengesahkan Anwar adalah tahanan politik.
Pendirian sama turut dinyatakan Working Group United Nations bahawa pemenjaraan Anwar dilaksanakan bagi menyekat pengaruh politik bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Untuk rekod, lanjutan permohonan pembebasan Anwar telah dikemukakan kepada mahkamah dan Istana untuk tempoh ketiga sepanjang penahanannya di Sungai Buloh.
Sebelum ini, rayuan oleh Anwar dan anggota keluarganya terhadap keputusan Lembaga Pengampunan yang menolak petisyen atas sabitan meliwat di dengar di Mahkamah Rayuan, 19 Januari lalu.