HARAPAN: Adakah MB Johor terima RM12 juta?

Pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor menggesa Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menjelaskan sama ada beliau menerima RM12 juta untuk ntuk mengubah status lot perumahan bumiputera kepada status bukan bumiputera.
Dalam satu kenyataan media bersama, enam pemimpin HARAPAN itu berkata, pengakuan perlu dibuat susulan sebuah laman web yang memuat naik dokumen yang didakwa dikaitkan dengan penyiasatan SPRM mengenai perkara berkenaan.
“Isu melibatkan pengubahan status lot perumahan bumiputera yang timbul telah memberi gambaran bahawa kerajaan negeri BN pimpinan Khaled telah gagal untuk memperjuangkan nasib rakyat.
“Oleh itu, Pakatan Harapan Johor mendesak agar Khaled Nordin tampil ke hadapan dan menjawab persoalan ini dengan kadar segera tanpa berselindung,” petik kenyataan itu.Ia ditandatangani oleh Pengerusi HARAPAN Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Shahruddin Md Salleh; Pengerusi AMANAH Johor, Aminulhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim dan pemimpin DAP Johor, Liew Chin Tong.
Tuduhan itu ditimbulkan oleh ADUN Senai Wong Shu Qi di Dewan Undangan Negeri Johor, semalam.
Wong berkata, bahawa sebuah laman web kononnya telah memuat naik kenyataan seorang saksi SPRM yang mengaitkan Khaled menerima suapan sebanyak RM12 juta untuk menukar status lot perumahan bumiputera.
Beliau kemudian menuntut supaya Khaled menjawab pertuduhan itu tetapi sebaliknya, dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan dan diarah keluar dewan.
Pada Mac lalu, exco kerajaan negeri Johor Datuk Abdul Latif Bandi ditahan dan didakwa sebulan kemudian atas 33 pertuduhan bersubahat bersama seorang jururunding hartanah melibatkan wang suapan RM30.3 juta.
Pada 25 Februari lalu, anak exco itu dan pegawai khas beliau ditahan oleh SPRM dalam satu serbuan.
Dalam operasi berkenaan, SPRM turut merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, wang tunai kira-kira RM500,000 termasuk mata wang asing dan dokumen-dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.
Sebanyak 45 akaun bank milik bersama semua suspek melibatkan sekurang-kurangnya RM15.5 juta juga dibekukan bagi membantu siasatan.Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya memandang serius pembocoran dokumen kenyataan rakaman percakapan melibatkan kes bekas exco yang disiasat pada awal tahun ini di media sosial.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates: