MELAKA: Seramai 36 pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah dibuang kerja sejak tiga tahun lalu atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Zainal Rahim Seman berkata, pihaknya memandang serius perbuatan salah laku kakitangan kerajaan di semua agensi kerajaan.
"Di dalam perkhidmatan JPJ, saya difahamkan seramai 17 kakitangannya telah dibuang kerja pada 2014 diikuti 10 (2015) dan sembilan kes pada tahun lalu.
"Tindakan buang kerja terpaksa diambil sebagaipengajaran mengutamakan integriti dalam melaksanakan tugas," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutupan Kursus Asas Pegawai Penguatkuasa JPJ Gred KP41 dan KP19 Siri 1/2019 di Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Tiang Dua, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Saripuddin Kasim dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Nadzri Siron.-myMetro