PARIS: Sejumlah 65.30 peratus rakyat Perancis sudah keluar untuk mengundi setakat jam 3 petang waktu tempatan (kira-kira 10 malam waktu Malaysia) pada pusingan kedua, Pilihan Raya Presiden 2017.
Menurut data Kementerian Dalam Negeri, angka itu adalah 6.6 mata lebih rendah daripada pemilihan presiden 2012 dan kira-kira empat mata rendah ketika pusingan pertama pada 23 April lalu.
Pusingan kedua, semalam menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon pendahulu, Emmanuel Macron dan pelampau berhaluan kanan, Marine Le Pen.
Ini adalah pilihan raya pertama dalam tempoh enam dekad yang tidak membabitkan sebarang calon dari mana-mana parti tradisional berhaluan kiri atau kanan.
Kajian yang dijalankan baru-baru ini mendapati tujuh daripada setiap 10 pengundi tidak gemar kedua-dua calon yang bertanding kali ini. - AFP