'Ada pekerja tidak mampu beli makanan di Forest City'

Asrama pekerja yang tersergam luas itu juga mempunyai sebuah kantin. Namun harga makanan yang dijual adalah jauh dari kemampuan sebahagian besar pekerja.
Sepinggan nasi berlauk daging boleh mencecah harga antara RM8 dan RM10, manakala buah-buahan dijual pada harga RM2 setiap potong dan segelas teh herba pula berharga RM5.
Bagi pekerja asing, yang belum dibayar gaji dan terpaksa menyara diri dengan duit saku sendiri yang terdiri antara RM300 dan RM600, harga berkenaan adalah terlalu mahal.
Pengendali kantin, yang hanya mahu dikenali sebagai Mah, menyedari masalah mereka.
"Kasihan, sebahagian daripada mereka tidak mempunyai wang untuk membeli makanan," katanya kepada Malaysiakini yang melawat lokasi itu, baru-baru ini.
Mah, yang sewa kantinnya mencecah lebih RM10,000 sebulan, mendakwa bahawa setiap hari, kira-kira 20 hingga 30 pekerja akan meninggalkan asrama, yang menempatkan mereka ketika bekerja di projek Forest City itu.
"Saya dan rakan saya akan membawa mereka ke lapangan terbang dengan bayaran RM60 atau RM80," katanya, merujuk kepada lapangan terbang antarabangsa Senai, yang terletak kira-kira 40km dari asrama itu.
Mah bercakap tentang warga China yang tiba dengan pas lawatan sosial tetapi terpaksa pulang selepas mendapat tahu tentang eksploitasi dan juga mendengar pengalaman rakan-rakan yang telah lama bekerja tetapi memutuskan untuk kembali ke tanah air mereka.
Pengendali kantin itu percaya terdapat individu atau kumpulan yang diupah oleh subkontraktor untuk bersekongkol dengan ejen haram di China, bagi memancing warga di sana untuk datang bekerja di projek Forest City dengan tawaran gaji lumayan.
Peningkatan penerbangan terus dari Sichuan dan Guangdong sejak beberapa bulan lalu membuka peluang kepada ejen-ejen ini untuk mengambil pekerja, terutama lelaki pertengahan umur yang dikenakan bayaran antara 10,000 yuan (RM6,288) hingga 24,000 yuan (RM15,092).
Sebahagian besar tenaga kerja asing ini datang dari China dan Bangladesh, manakala selebihnya adalah dari Sri Lanka, Indonesia, India Nepal dan Myanmar.
Kawasan ini menempatkan lebih 100 unit penginapan satu tingkat dan beberapa blok tiga tingkat, dan banyak lagi sedang dalam pembinaan. Selain daripada kantin, terdapat juga kedai runcit, kedai menjual pakaian terpakai dan juga kedai menjual telefon mobil.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :