ALAHAI IDRIS AHMAD.....

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad nampaknya mengeluh mengenai apa yang didakwanya sebagai pilih kasih tentang hubungan parti itu dengan UMNO berbanding pemimpin DAP berbuat perkara yang sama.

Kata beliau, jika ada pemimpin Pas bergambar atau minum teh bersama pemimpin UMNO, ia segera dituduh mereka mahu masuk UMNO. 

Tetapi, tambahnya,  jika pemimpin DAP berpegang tangan dengan pemimpin UMNO, tidak pula timbul tuduhan mereka itu bersekongkol dengan UMNO.

"Pantang lihat gambar pemimpin kerajaan Kelantan bersama dengan kerajaan pusat terus mengatakan PAS sudah bersama dengan UMNO. Jika ada pemimpin DAP, bukan sekadar minum malahan berlaga perut dan berpegang tangan pun tidak ada masalah," kata Idris lagi.

Alahai Idris...mengeluh atau buat-buat tak faham?
Perbezaan penilaian itu bukan bermakna adanya pilih kasih, tetapi beza antara kedua-duanya memang nyata.

Memang ada pemimpin DAP hadir bersama pemimpin UMNO dalam program atau majlis tertentu, tetapi ia lebih melibatkan hubungan antara kerajaan dengan kerajaan atau program berkaitan kerajaan saja.

Selalunya pula, selepas berakhir majlis itu, ia habis di situ saja. Bermakna, baik pemimpin DAP atau pemimpin UMNO yang hadir bersama itu, mereka sedar keberadaan mereka adalah semata-mata kerana tugas sebagai pemimpin kerajaan semata-mata.

Perkara yang sama juga pernah berlaku ketika Pas Kelantan dipimpin oleh Nik Aziz Nik Mat dahulu. Ketika itu, atas kapasiti sebagai Menteri Besar, beliau memang beberapa kali hadir bersama Perdana Menteri dalam program-program kerajaan.

Namun, sama seperti seperti kehadiran pemimpin DAP bersama pemimpin UMNO tadi, kehadiran Nik Aziz itu tidak pernah sekali pun dispekulasi macam-macam oleh orang ramai.

Kenapa?

Sebabnya, sama seperti pemimpin DAP itu, Nik Aziz juga tahu batas dan peranannya sebagai pemimpin kerajaan.

Kenapa pula kehadiran pemimpin Pas sekarang bersama pemimpin UMNO ditafsir berbeza?

Jawabnya, lihatlah pemimpin-pemimpin Pas hari ini.

Pemimpin Pas sekarang, sebaik saja dapat bergambar bersama, minum teh bersama, berbaju merah jambu bersama, berjubah putih bersama atau ke London mencari teh tarik bersama, mereka nampaknya jadi tunduk, layu dan terkulai atas segala kemungkaran, salah laku dan penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan atau melibatkan pemimpin utama UMNO.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :