AMANAH: Perancangan lemah, masalah besar penduduk PPR

Masalah besar yang dihadapi penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur pada hari ini adalah berpunca daripada perancangan yang lemah, kata pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan, Dr Hatta Ramli.
PPR merupakan rumah pangsa kerajaan yang dibina untuk memenuhi keperluan perumahan rakyat berpendapatan rendah dan untuk menempatkan semula setinggan.
Menurut Dr Hatta, contoh masalah besar yang dihadapi kebanyakan PPR di Kuala Lumpur, khususnya di Titiwangsa ialah ruang letak kereta yang sangat terbatas.
"Masalah ruang letak kereta yang sangat terbatas, menyebabkan masalah 'double parking' malah sehingga 'triple parking'.
"Sekiranya berlaku kecemasan, pastinya kenderaan seperti trak bomba dan ambulans akan menghadapi masalah untuk membantu, akhirnya penduduk PPR tersebut juga yang merana," tegas Dr Hatta dalam satu kenyataan.
Sementara itu, di PPR Pantai Permai, pili bomba dan alat pemadam api tidak berfungsi dengan baik dan merisikokan penduduk, katanya.
"Kalau kebakaran berlaku dan masalah jalan sempit dan alat kecemasan tidak berfungsi, saya tidak dapat bayangkan apa yang bakal terjadi, katanya.
Masalah itu adalah berpunca kepada perancangan yang lemah, kata Dr Hatta yang juga anggota Parlimen Kuala Krai.
"Walaupun ini merupakan projek yang ditumpukan kepada golongan rakyat berpendapatan rendah, ini tidak bermakna bahawa kita perlu sewenang-wenangnya dalam merancang kediaman yang bakal didiami berpuluh-puluh tahun lamanya.
"Menjadi misi besar saya untuk melihat sebarang pembangunan yang dibina untuk rakyat dalam semua kelas ekonomi dibangunkan dengan mengambil berat keselamatan, keselesaan dan kelestarian penduduk," katanya.
Penduduk boleh memilih untuk menyewa unit PPR untuk RM124 sebulan atau membelinya dengan harganya sehingga RM40,500 seunit, menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Perdana Menteri Najib Abdul Razak berkata bulan lepas bahawa kerajaan memberikan subsidi sehingga RM158,000 bagi setiap unit PPR yang dibina.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :