WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan perjanjian senjata dengan Arab Saudi adalah satu langkah jangka panjang mengekalkan hubungan keselamatan dan terus meminggirkan Iran.
Pegawai pentadbiran Amerika Syarikat mengesahkan perjanjian untuk dekad seterusnya itu bernilai AS$110 bilion (RM473 bilion) dan ia adalah perjanjian senjata tunggal dalam sejarah negara itu.
Perjanjian itu menyaksikan kilang pengeluaran senjata pertahanan Amerika Syarikat akan menyalurkan semua keperluan daripada kapal dan kereta kebal hingga ke sistem anti peluru berpandu ke negara Arab itu.
Pada masa sama, perjanjian itu turut membabitkan jualan peluru berpandu yang sebelum ini disekat di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama.
Sekatan itu dibuat kerana bimbang Arab Saudi menggunakan senjata itu untuk menyerang orang awam di Yaman dalam misi memerangi pemberontak Houthi yang disokong Iraq.
Walaupun tidak semua aspek perjanjian didedahkan kepada umum, sasaran utama perjanjian itu adalah untuk membantu tentera Arab Saudi mengukuhkan pertahanan untuk menghalang musuh tradisinya, Iran dan program nuklear negara itu.
Selain itu, perjanjian itu membuka laluan penjualan peluru patriot dan sistem pertahanan anti-peluru berpandu Terminal Altitud Tinggi (THAAD) bagi melengkapkan Riyadh dengan kemampuan untuk memintas roket Iran.
"Pakej peralatan dan perkhidmatan pertahanan menyokong keselamatan jangka panjang Arab Saudi dan rantau Teluk untuk berdepan ancaman Iran.
"Selain itu, ia mengukuhkan keupayaan negara itu menyumbang ke arah operasi antikeganasan di seluruh rantau ini," kata Pengarah Jabatan Negara Keselamatan Serantau dan Pemindahan Senjata, Mike Miller. AFP