Batal SSA Bandar Malaysia Keputusan Komersial -TPM


PUTRAJAYA: Pembatalan perjanjian jualan saham (SSA) Bandar Malaysia dilakukan bersandarkan keputusan komersial selepas kegagalan pihak pembeli membuat pembayaran yang tertangguh lebih 10 kali, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan pembatalan itu dibuat Lembaga Pengarah TRX City Sdn Bhd selepas berlaku pelanggaran terma kontrak yang dipersetujui sebelum ini.

"Terdapat penangguhan pembayaran beberapa kali, mungkin lebih 10 kali, oleh kerana Bandar Malaysia perlu dibangunkan ikut tempoh tertentu, kita lihat kepada perundangan dan keputusan kemudian dibuat.

"Keputusan pembatalan 100 peratus bergantung kepada keputusan komersial dan kehilangan peluang (pembangunan dan perniagaan)," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mendakwa pembatalan SSA Bandar Malaysia dengan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corperation (M) Sdn Bhd (CREC) membabitkan 60 peratus modal terbitan dan berbayar Bandar Malaysia Sdn Bhd, adalah atas arahan Perdana Menteri.

Dilaporkan konsortium IWH-CREC Sdn Bhd gagal membayar RM7.42 bilion untuk pegangan saham 60 peratus walaupun beberapa kali penangguhan diberikan sejak Disember 2015.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, tiga warga Turki yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mengancam keselamatan dan ketenteraman awam tidak akan dihantar ke negara lain.

Katanya, sekiranya ketiga-tiga warga Turki itu perlu dihantar keluar dari Malaysia, negara yang sepatutnya adalah negara asal mereka iaitu Turki.

"Saya serahkan kepada pihak polis untuk mengambil langkah selanjutnya. Kenapa kita mahu bebankan negara lain (jika mereka perlu dihantar ke luar)," katanya.

Beliau mengulas permintaan seorang daripada isteri warga Turki yang ditahan iaitu Ayse Gul Karaman agar suaminya, Turgay Karaman tidak akan dihantar pulang ke negara asal ekoran bimbang suaminya akan diseksa. - BHOnline

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :