KOTA BHARU: Bayi berusia tiga bulan yang bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), meninggal dunia jam 8.30 malam tadi.
Pada 5 Mei lalu, BH Online memaparkan kisah penderitaan Muhamad Asif Rifqi Mohd Azizi yang mengalami komplikasi kronik termasuk jantung berlubang, paru-paru berair dan jangkitan kuman pada otak.
Ibunya, Normala Isa, 38, berkata Muhamad Asif berada dalam keadaan stabil pada jam 5 petang semalam.
Beliau pulang ke rumah kira-kira jam 7 malam sebelum mendapat panggilan pihak hospital sejam selepas itu, memaklumkan anaknya tenat.
Normala dan suaminya, Mohd Azizi Salleh, 33, bergegas ke hospital sejurus menerima panggilan namun doktor mengesahkan Muhamad Asif sudah meninggal dunia.
"Keadaan anak saya membimbangkan sejak dua hari lalu apabila mengalami demam panas manakala mukanya menjadi sembap.
"Kami reda dengan keadaan ini," kata Normala ketika dihubungi, hari ini.
Normala berkata, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Perol, Nilam Puri, pagi ini dan mengucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang membantu selama ini. - BHOnline