BNM Akan Perkenal Langkah Pengawalseliaan Baharu Kukuhkan Sistem Perbankan - Gabenor


KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperkenalkan tiga langkah pengawalseliaan untuk mengukuhkan asas-asas sistem perbankan yang kukuh dan berdaya tahan dalam tempoh tujuh bulan akan datang yang termasuk semakan rujukan pekerjaan.

Gabenor Datuk Seri Muhammad Ibrahim berkata bank pusat akan melaksanakan semakan rujukan pekerjaan yang wajib bagi pekerja industri kewangan yang bertujuan untuk menghapuskan asimetri maklumat pekerja semasa peralihan pekerjaan.

"Kami akan berkongsi dengan industri cadangan semakan terhadap dasar penyumberan luar untuk meningkatkan tadbir urus dan penyeliaan institusi kewangan, terutamanya melibatkan aturan merentas sempadan," katanya.

Bercakap pada Sidang Kemuncak Perbankan Malaysia Ke-21 Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli), di sini hari ini, katanya semakan itu juga bertujuan untuk lebih menyokong pembangunan kepakaran di peringkat tempatan dan kapasiti dalam fungsi teras industri perbankan.

Muhammad berkata pusat operasi keselamatan bersama bagi industri kewangan (FINSOC) juga akan ditubuhkan melalui kerjasama dengan industri untuk menyokong pemantauan yang berterusan dan proaktif terhadap ancaman siber.

"Akhirnya, menjelang 2018, kami berharap dapat mengoperasikan pelaksanaan di peringkat industri e-KYC (Kenali Pelanggan Anda) ," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya sektor perbankan, yang menjadi tunjang kekuatan bagi ekonomi Malaysia, dapat memainkan peranan yang lebih positif dengan terlibat dalam perbincangan mengenai isu ekonomi dan kewangan yang dihadapi negara.

Muhammad berkata perspektif pihak perbankan dari segi isu-isu menyentuh sektor sehingga kepada trend makro, dapat memberi pandangan tambahan serta meningkatkan penilaian oleh pihak awam dan komuniti kewangan.

Pada masa sama, katanya, ia juga dapat menangani jurang antara realiti dan persepsi yang seringkali menjadi tumpuan perbualan awam.

"Sudah tiba masanya bagi pihak perbankan kita untuk terbabit secara lebih aktif dalam perbincangan ekonomi untuk menghasilkan pandangan yang lebih seimbang," katanya.

Beliau juga menggesa pihak perbankan untuk lebih aktif mengemukakan penyelesaian terhadap isu kewangan dan ekonomi yang penting dihadapi negara kerana suara positif bagi perubahan sosioekonomi mampu membantu menyemai kepercayaan awam terhadap peranan sektor perbankan dalam usaha pembangunan negara.

Muhammad berkata, antara isu semasa yang menarik tumpuan terhadap pihak perbankan adalah melibatkan isu perumahan mampu milik dan lebihan hartanah komersial.

"Kita perlu meninjau kaedah bagi menyederhanakan kecenderungan pinjaman untuk hartanah," katanya.

Selain itu, katanya, pihak bank juga perlu menawarkan lebih banyak pembiayaan untuk pelaburan baharu yang produktif dan penting bagi menyokong transformasi ekonomi serta memenuhi permintaan ekonomi baharu.

-- BERNAMA

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :