NEW YORK: Harga minyak meningkat sedikit dengan pasaran kekal berhati-hati dengan kenaikan dalam aktiviti penggerudian Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan usaha pemotongan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk mengetatkan bekalan.
Dagangan juga lemah susulan cuti umum di China, AS dan Britain.
Pasaran juga kekal tidak menentu berhubung sama ada lanjutan pemotongan pengeluaran oleh OPEC dan negara pengeluar lain mampu menyokong harga.
Niaga hadapan minyak mentah Brent naik 14 cents atau 0.2 peratus kepada AS$52.29 setong. Brent susut hampir tiga peratus pada minggu sebelumnya.
Niaga hadapan minyak mentah AS, West Texas Intermediate (WTI) juga 19 cents lebih tinggi kepada AS$49.99 setong.
OPEC dan beberapa ahli bukan OPEC minggu lalu berikrar untuk melanjutkan pemotongan pengeluaran sekitar 1.8 juta tong sehari (bpd) sehingga Mac 2018.
Perjanjian awal yang dilaksanakan sejak Januari akan tamat pada Jun.
"Ini adalah sedikit lantunan semula daripada Khamis lalu apabila harga minyak menyusut dengan mendadak," kata Pakar Ekonomi Tenaga di WTRG Economics, James L. Williams di Arkansas. - Reuters