Wan Azizah memainkan peranan penting dalam membentuk pakatan pembangkang baharu selepas terkuburnya Pakatan Rakyat.
Ketuanya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata sayap pemuda parti memilih presiden mereka, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai perdana menteri sehingga Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebaskan dari penjara.
“Beliau telah buktikan sebagai ketua pembangkang yang mainkan peranan dalam membentuk Pakatan Harapan bila terburainya Pakatan Rakyat,” kata Nik Nazmi dalam ucapan pergulungan kongres pemuda PKR ke-12 di Pusat Konvensyen Ideal di sini hari ini.
“Tidak ada masalah untuk letak Wan Azizah sebagai perdana menteri peralihan sekaligus menjadi perdana menteri wanita pertama,” tambahnya.
Pendirian yang tidak mengejutkan ini diajukan selepas pemerhati politik mempertikaikan keengganan Pakatan Harapan mengumumkan calon perdana menteri pakatan pembangkang untuk PRU-14.
Timbalan presiden PKR sendiri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebelum ini enggan menamakan pilihannya, dan berkata keutamaan perlu diberikan kepada memenangi pilihan raya.
Antara nama yang disebutkan dalam spekulasi calon perdana menteri pakatan pembangkang adalah Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Read More / Baca Lagi >>