Comey Dipecat Kerana Enggan Dedah Laporan


WASHINGTON: Keengganan Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), James Comey mendedahkan maklumat siasatan kepada pembantu kanan Presiden Donald Trump, dipercayai menjadi punca pemecatannya. 

Menurut pegawai Rumah Putih, Comey diminta mendedahkan kenyataan kepada pembantu kanan terbabit, sebelum dibentangkan kepada panel Dewan Senat. 

Difahamkan, Trump, Peguam Negara, Jeff Sessions dan Timbalan Peguam Negara, Rod Rosenstein mahu Comey memaklumkan kepada mereka lebih awal mengenai apa yang akan dikemukakan kepada sesi pendengaran 3 Mei lalu. 

Ia membabitkan maklumat siasatan ke atas penggunaan pelayan e-mel peribadi oleh bekas calon presiden daripada Parti Demokrat, Hillary Clinton. 

Bagaimanapun, keengganan Comey bekerjasama menyebabkan Trump dan pembantunya menganggap ia sebagai salah laku dan menjadi faktor pemecatan pengarah FBI itu. 

"Tindakan Comey ini memberikan gambaran beliau tidak mampu menjalankan tugasnya," kata pegawai itu. 

Bagaimanapun, makluman mengenai kenyataan yang bakal dibentangkan dalam perbicaraan Kongres kepada pihak atasan umumnya dibuat atas rasa hormat dan tidak wajib dilakukan. - Reuters

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :