Bekas timbalan presiden Umno itu menganggap dakwaan Nazri Aziz 'fitnah sefitnah-fitnahnya'.
“Fitnah sefitnah-fitnahnya. Wallahi, wabillahi, watallahi, saya tak terima satu sen pun,” kata Muhyiddin di program ceramah di Kampung Baru, malam tadi.
Nazri sebelum ini mendakwa Muhyiddin dan bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal, pernah menerima peruntukan daripada wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.
Najib dan pemimpin Umno sebelum ini berkata wang itu merupakan sumbangan kerajaan Arab Saudi kepada parti itu untuk kempen pilihan raya umum 2013, menafikan dakwaan ia berkait entiti 1MDB seperti dipetik The Wall Street Journal (WSJ) berdasarkan kertas siasatan terhadap syarikat itu.
Muhyiddin dan Shafie dipecat daripada kabinet pada 2015 selepas kedua-dua mereka lantang mempersoalkan isu 1MDB susulan pendedahan WSJ itu.
Nazri berkata beliau menerima sejumlah RM500,000 daripada Najib bagi membantu pembaikan rumah di kawasan Parlimennya di Padang Rengas.
“Nazri kata saya dapat duit. Mana ada duit, dah tak ada modal lagi dah,” kata Muhyiddin semalam.
Sebelum ini, Shafie yang kini mengetuai Parti Warisan Sabah turut menafikan dakwaan Nazri.