Dari pertembungan pertama mereka, ke zaman Anwar menjadi timbalan Dr Mahathir, sehinggalah kini, Malaysia terus dicorakkan kedua-dua tokoh ini.
Semua pemimpin itu mewakili 4 anggota PH iaitu PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Tidak lama kemudian tersiar poster dengan gambar gandingan Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ikon PH dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang dijangka semakin hampir.
Minggu ini Pakatan Harapan dijangka mengemukakan permohonan untuk didaftar dengan logo bersama.
Anwar yang masih dalam penjara difahami tetap menjadi ketua umum PH. Juga dipersetujui, jika PH menang pilihan raya dan mampu menubuhkan kerajaan, Anwar akan dicalonkan sebagai perdana menteri setelah proses pembebasannya dilakukan. Maka kehadiran Dr Wan Azizah adalah untuk mewakili Anwar.
Namun, apa yang akan benar-benar berlaku bergantung pada jumlah kerusi yang mereka raih kelak. Pembahagian kerusi belum diputuskan. Tetapi dapat dipercayai PKR akan terus bertanding di kerusi yang selama ini mereka tanding. DAP akan bertanding di kawasan majoriti Cina. Amanah akan bertanding di kawasan yang dimenangi PAS. PPBM akan bertanding di kawasan Umno.
Di sini akan berlaku juga pembahagian kerusi antara PKR dan PPBM. Tetapi matlamat mereka adalah untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) walaupun PH terpaksa juga menghadapi PAS.
Pastinya Dr Mahathir tidak akan bertanding. Beliau tidak akan menjadi perdana menteri lagi. Beliau akan memberi laluan pada Anwar.
Tetapi Anwar dalam penjara. Beliau juga tidak bertanding walaupun usaha akan dilakukan untuk beliau menjadi perdana menteri jika PH menang.
Apa yang jelas, PH menampilkan dua ikon popular tetapi kedua-duanya tidak bertanding. Dr Mahathir berusia 91 tahun dan Anwar menjalani hukuman penjara.
Jadi jika PH menang dengan pemimpin utamanya memperoleh kerusi, maka yang jadi perdana menteri adalah Dr Wan Azizah jika diambil kira beliau adalah pengerusi.
Jika tidak, maka jawatan itu jatuh pada Datuk Seri Azmin Ali selaku naib pengerusi PH dari PKR.
Kalau kerusi PPBM lebih banyak, Muhyiddin akan menjadi perdana menteri. Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu tidak boleh jadi perdana menteri kerana bilangan kawasan yang parti mereka tandingi adalah kecil.
Namun, jika PH berpecah selepas pilihan raya dengan penyusunan semula hubungan parti politik melibatkan Umno dan PAS, maka ia menjadi cerita lain. Tetapi jika mandat rakyat adalah kepada PH, mereka menolak BN dan PAS, bukan sekadar tidak mahu pemimpin tertentu.
Nostalgia
Tetapi apapun pergolakan politik yang sedang dan akan berlaku, gandingan Mahathir-Anwar ini bukan saja menggamit nostalgia generasi yang hidup pada zaman itu tetapi mewujudkan suatu rasa deja vu.
Siapa sangka berlaku sekali lagi gandingan politik Mahathir-Anwar walaupun kini pada pihak pembangkang.
Read More / Baca Lagi >>