Dendam Negara Bangsa

Oleh: Zulkifli Salleh

Dalam bukunya, The Revenge of Geography: What the Map Tells Us About Coming Conflicts and the Battle Against Fate, Robert D. Kaplan meneliti wawasan, penemuan, dan teori ahli geografi dan pemikir geopolitik agung yang terbaharu atau masa lalu, untuk memandang pangsi kritikal dalam sejarah semula dan kemudian memandang ke hadapan pada arena global yang berkembang.

Beliau menjejak sejarah tompok panas dunia dengan mengkaji cuaca, topografi dan kedekatan dengan bumi yang bertempur.

Geografi, hujah beliau, ialah latar belakang kepada sejarah manusia itu sendiri. Meskipun herotan kartografi, geografi mampu mendedahkan hasrat jangka panjang kerajaan. Hujah beliau, China akhirnya lebih penting daripada Brazil kerana lokasi geografi.

Meskipun Kaplan dalam bukunya itu langsung tidak menyebut negara bangsa, "geografi" yang dimaksudkan itu sebahagian negara bangsa, iaitu wilayah. Dalam "kata akhir", beliau mencatatkan pertikaian yang berterusan dan sengit antara China dengan negara lain di Asia di Laut China Selatan dan Laut China Timur. Pertikaian ini yang membentuk semula politik Asia bukan tentang idea atau ideologi, sebaliknya tentang kawalan terang-terangan ruang berharga pada peta.

Dalam On the Edge of the New Century yang mengandungi wawancaranya dengan Antonio Polito, Eric Hobsbawm membezakan dua maksud istilah negara bangsa. Dalam pengertian tradisional, istilah ini diertikan sebagai negara wilayah yang di situlah orang banyak, iaitu bangsa yang memegang kuasa kedaulatan hidup. Inilah makna negara bangsa yang muncul daripada Revolusi Perancis, dan sebahagiannya daripada Revolusi Amerika.

 Secara perbandingan, hujah Hobsbawm, terdapat satu lagi maksud yang diterima pakai untuk istilah tersebut yang paling terbaharu dan mengandungi idea bahawa setiap negara wilayah dimiliki oleh orang tertentu, dan ditakrifkan mengikut etnik, linguistik, dan ciri budaya tertentu, dan ciri inilah yang membentuk bangsa. Menurut idea ini, hanya satu bangsa hidup dalam negara bangsa, dan yang lain ialah minoriti yang hidup di tempat yang sama, tetapi bukan sebahagian daripada bangsa.

Sebagai akibat rempuhan globalisasi dan Iedakan teknologi maklumat, negara bangsa dijangkakan akan runtuh atau dalam kata Kenichi Ohmea, "dunia tanpa sempadan" dan "berakhirnya negara bangsa". Namun begitu, jangkaan atau ramalan itu tidak menjadi kenyataan, bahkan sejak akhir-akhirnya ini, di Eropah terutamanya, negara bangsa kembali, daripada "Brexit" di United Kingdom kepada kebangkitan gerakan pemisahan, antaranya di Scotland dan Catalonia. Keputusan "Brexit" itu menandakan dendam bangsa.

Sesetengah negara di Eropah, seperti Perancis, Belanda dan United Kingdom, menyaksikan kebangkitan puak populis yang mendapat suntikan semangat daripada kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada November 2016.

Eropah kini mendapati dirinya dalam nazak krisis politik terburuk sejak Perang Dunia Kedua. Di seluruh benua itu, parti politik tradisional hilang daya tarikan mereka, kerana populis, iaitu gerakan Euroskeptical, berjaya menarik sokongan meluas. Hari demi hari, harapan untuk perpaduan Eropah kelihatan semakin pudar. Krisis euro mendedahkan talian rosak yang mendalam antara Jerman dengan negara selatan Eropah yang menanggung beban hutang, termasuk Greece dan Portugal.

Jerman dan Itali bertelingkah tentang isu, seperti kawalan sempadan dan kawal selia perbankan.
Pada 23 Jun 2016, United Kingdom menjadi negara pertama dalam sejarah mengundi untuk meninggalkan Kesatuan Eropah, memberikan tamparan hebat kepada blok itu. Pada masa yang sama, tatkala politik dalamannya tidak terkawal, Eropah kini menghadapi bahaya luaran baharu. Di timur, Rusia yang berdendam menceroboh Ukraine dan mengilhakkan Crimea. Ke selatan Eropah, keruntuhan beberapa buah negara memaksa berjuta-juta migran ke arah utara dan mewujudkan tapak pembiakan untuk pengganas Islam.

Huru-hara tersebut, menurut pemerhatian Jakub Grygiel yang menulis dalam Foreign Affairs September/ Oktober 2016, menekankan harga pengabaian perjuangan geopolitik yang mengelilingi Eropah. Namun begitu, Kesatuan Eropah, dilumpuhkan oleh krisis euro dan perpecahan tentang cara untuk membahagi-bahagikan pelarian, tidak lagi kelihatan cukup kuat untuk menangani kacau-bilau domestiknya atau ancaman keselamatan di sempadannya. Para pemimpin negara di seluruh benua itu telah pun beralih kepada memandang ke dalam, merumuskan bahawa cara terbaik untuk melindungi negara mereka menerusi lebih banyak kedaulatan, bukannya kurang. Banyak pengundi kelihatan bersetuju.

Dalam "The Return of Europe's Nation-States:' Grygiel menegaskan bahawa kepulangan kepada nasionalisme agresif boleh berbahaya, bukan sahaja untuk benua itu, tetapi juga kepada dunia. Namun begitu, Eropah yang bersifat mendesak negara bangsa baharu lebih kepada Kesatuan Eropah yang hari ini tidak bercantum, tidak berkesan dan tidak popular. Wujud alasan baik untuk percaya bahawa negara Eropah akan melakukan kerja yang lebih baik untuk mengawal Rusia, mengurus krisis migran, dan melawan keganasan secara bersendirian daripada dilakukan di bawah naungan Kesatuan Eropah.

Hujah Grygiel, disedari atau tidak, ahli politik Eropah yang memperjuangkan sempadan terbuka gagal memberikan keutamaan kepada warganegara mereka sendiri berbanding dengan orang asing. Niat pemimpin ini mungkin mulia, tetapi jika negara gagal mengehadkan perlindungannya kepada kumpulan orang tertentu, iaitu warganya, maka kerajaan menanggung risiko kehilangan kesahan. Sememangnya, ukuran utama kejayaan negara ialah baiknya kerajaan dapat melindungi rakyat dan sempadannya daripada ancaman luaran, yang mungkin jiran mereka yang berseteru, keganasan, atau migrasi massa.

Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :