KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan bekas Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sebagai pemimpin disegani kerana kewibawaan dan ketegasan memperjuangkan hak Sarawak.
Beliau berkata, Adenan juga lantang memperjuangkan kebajikan rakyat Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama selaras dengan perjuangan beliau sebagai Ketua Menteri untuk semua kaum.
"Sungguhpun menjadi Ketua Menteri dalam tempoh yang sangat singkat, kepimpinan Allahyarham (Adenan) memberi kesan yang begitu besar kepada rakyat Sarawak.
"Ini terbukti apabila Allahyarham berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif, program dan projek pembangunan yang berteraskan rakyat," katanya ketika berucap sempena Upacara Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 hari ini.
Tun Taib turut melahirkan keyakinan 53 prinsip dan tindakan yang dilaksanakan oleh Adenan dinikmati semua lapisan masyarakat.
"Allahyarham akan terus dikenang sebagai seorang pemimpin yang tegas dalam memperjuangkan hak-hak autonomi negeri serta mengusulkan pengembalian kuasa daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri selarasa dengan apa yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
"Semasa pentadbiran Allahyarham juga, projek infrastruktur terbesar di negeri ini iaitu Projek Lebuhraya Pan Borneo dapat direalisasikan pembinaannya," ujarnya.-Sarawakiana