Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Fatimah Abdullah berkata bagi menggalakkan penyertaan mereka dalam pelbagai aktiviti sosial, kerajaan telah menubuhkan 22 pusat aktiviti dan perkhidmatan warga emas dengan lebih 31,000 ahli berdaftar.
"Pusat–pusat ini telah mula menggunapakai Pelan Tindakan Pembangunan Warga Emas Kebangsaan yang merangkumi program-program kesihatan, kesenian, pendidikan sepanjang hayat, kerohanian dan ekonomi.
"Untuk memelihara kesejahteraan komuniti setempat, kebajikan kanak-kanak yang berada di kawasan berisiko tinggi turut diberi perhatian agar mereka terhindar daripada terlibat dalam gejala sosial," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya.
Menurutnya, satu inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan ialah penubuhan 14 buah Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) yang menyediakan pelbagai program dan aktiviti seperti kelas ulangkaji pelajaran, indoor games, kesenian, kerohanian, motivasi dan kemahiran hidup.
"Pada tahun 2016, pusat-pusat ini telah memberi manfaat kepada 3,239 kanak-kanak," jelasnya. - Sarawakiana