KUCHING : Lembaga Penyatuan & Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) amat komited untuk mempermudahkan penyukatan dan membantu peserta-peserta yang belum mendapat surat hak milik tanah mereka.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebanyak 24,832 bidang tanah seluas 53,536 hektar yang melibatkan 19,410 orang peserta di semua kawasan pembangunan SALCRA di wilayah Bau-Lundu, Serian, Sri Aman dan Saratok telah disiasat dan disukat.
“Daripada jumlah tersebut, 11,502 bidang tanah seluas 21,562 hektar melibatkan 10,080 orang pemilik tanah Hak Adat Bumpitera, telah dikeluarkan dengan Surat Hak Milik Tanah oleh Jabatan Tanah dan Survei, Sarawak," katanya.
Menurutnya, bagi wilayah Bau/Lundu yang merangkumi Estet Kelapa Sawit Jagoi, Bratak, Stenggang, Undan dan Sebako, sejumlah 7,071 bidang tanah seluas 12,961 hektar telah disiasat dan disukat oleh SALCRA.
“Daripada jumlah tersebut, 3,236 bidang tanah seluas 6,549 hektar telah dikeluarkan Surat Hakmilik Tanah oleh Jabatan Tanah dan Survei.
“Baki bidang tanah yang belum dikeluarkan dengan surat hakmilik tanah bagi wilayah Bau/Lundu ialah 3,835 bidang seluas 5,412 hektar," ujarnya.
Sementara itu, bagi wilayah Serian katanya, sejumlah 7,239 bidang tanah seluas 11,489 hektar telah disukat oleh SALCRA.
“Ini merangkumi Estet Kelapa Sawit bagi kawasan Taee, Kedup1, Kedup 2, Mongkos dan Melikin,” jelasnya.
Tambahnya lagi, sejumlah 2,062 bidang tanah seluas 3,464 hektar yang melibatkan 1,941 orang peserta telah dikeluarkan dengan Surat Hakmilik Tanah.
“Setakat ini, 5,177 bidang tanah seluas 8,025 hektar masih belum dikeluarkan dengan Surat Hakmilik Tanah,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pengulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-18 di sini, hari ini. - Sarawakiana