KUCHING: Martin Ben (BN-Kedup) mahu Jabatan Tanah dan Survei menyelesaikan isu penyukatan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup.
Beliau berkata, masih banyak kampung di kawasan Kedup belim digazet dibawah rizab guna sama.
"Saya juga bercadang Jabatan Tanah dan Survei mengemukakan laporan status secara berjadual kepada jawatankuasa kabinet," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul penghargaan ucapan Yang di-Pertua Negeri.
Menurutnya, program pembangunan tanah NCR melalui Salcra dengan penanaman sawit bermula di Serian sejak awal 1990an.
"Jumlah keluasan kawasan adalah 11,000 hektar dan jumlah peserta yang terlibat melebihi 7,000 peserta," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Martin turut memohon kerajaan mewujudkan jawatan temenggong, pemanca dan satu lagi jawatan penghulu bagi masyarakat Iban di Serian.
"Buat masa sekarang hanya seorang penghulu memikul tanggungjawab mentadbir 60 perkampungqb masyarakat Iban di Serian," jelasnya.-Sarawakiana