KUCHING: Kerajaan negeri sedang memantapkan Khidmat Sokongan Sosial untuk warga emas, orang papa, gelandangan dan OKU melalui latihan kemahiran, penjagaan dan pemulihan.
Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Fatimah Abdullah, kerajaan telah meluluskan peruntukan kewangan berjumlah RM36.8 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-11.
"Peruntukan tersebut adalah bagi menaiktaraf atau membina baharu institusi-institusi kebajikan seperti Pusat Pemulihan Samarahan, Rumah Seri Kenangan Kuching, dan Rumah Seri Kenangan Sibu," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan bagi kementeriaannya.
Tambahnya lagi, berhubung dengan kesejahteraan sosial orang papa dan gelandangan, kementerian telah meningkatkan usaha menguatkuasa Akta Orang Papa 1977.
"Untuk membantu mereka yang telah diselamatkan, bagi mereka yang masih ada waris, mereka diserah kepada keluarga masing-masing; bagi yang uzur tanpa waris, mereka ditempatkan di Rumah Seri Kenangan.
"Manakala, bagi yang masih sihat ditempatkan di institusi Desa Bina Diri (DBD) yang ditubuhkan bagi menyediakan perkhidmatan pemulihan dan latihan ‘hands-on’ dalam pelbagai kemahiran sebagai persediaan untuk membolehkan mereka hidup berdikari dalam masyarakat," jelasnya. - Sarawakiana