Ecuador: 400 Wanita Hamil Dijangkiti Virus Zika



QUITO – Kira-kira 400 wanita hamil dijangkiti virus Zika di Ecuador sejak April 2016, kata Menteri Kesihatan Awam Veronica Espinoza pada Khamis, lapor agensi berita China Xinhua.

Pada sidang akhbar menteri berkenaan berkata, sembilan kes mengesahkan bayi yang dikandung dijangkiti virus zika daripada ibu dan tiga bayi dilahirkan mengalami kecacatan.

Zika adalah virus disebarkan oleh nyamuk Aedes yang juga menjadi pembawa kepada demam denggi dan Chikungunya.

Sekitar 20 peratus orang dewasa yang dijangkiti menunjukkan tanda jangkitan dan virus itu lebih berbahaya jika menjangkiti wanita hamil kerana virus boleh berjangkit daripada ibu kepada janin atau melalui hubungan seksual dan pemindahan darah, kata Espinoza.

Virus Zika boleh menyebabkan bayi yang dilahirkan mengalami sindrom mikrosefali (otak kecil) atau pelbagai kecacatan lain.

Espinoza menasihatkan penduduk untuk senantiasa berwaspada selain mempastikan wanita hamil dapat dilindungi daripada dijangkiti virus.

Kementeriannya juga telah melaksanakan langkah pencegahan di seluruh negeri dengan menyembur bahan kimia di kawasan yang menjadi pembiakan nyamuk. – BERNAMA

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :