Fattah Tak Kecil Hati Dihina, Bersyukur Buku Diiktiraf Negara



Pelakon Fattah Amin terbuka hati menerima penghinaan masyarakat terhadapnya selepas buku pertamanya, 99 Kata-Kata #QalifModen Fattah Amin diangkat sebagai penerima kategori Buku Popular di Anugerah Buku Negara 2017 baru-baru ini.

Memetik laporan mStar online, Fattah berkata, dia bersyukur dengan pencapaian menerusi karya pertamanya itu dan menganggap ia sebagai rezeki.

"Ini adalah anugerah yang diiktiraf oleh negara, anugerah yang tak mudah untuk diperoleh.

"Jadi bila negara mengiktiraf buku ini, saya anggap ia adalah satu pencapaian dan rezeki," katanya kepada mStar Online.

Tidak berkecil hati, sebaliknya Fattah menyifatkan pertikaian daripada sesetengah pihak terhadap kemenangannya sebagai asam garam dalam dunia hiburan.

"Kritikan itu biasa, yang positif saya ambil dan yang negatif saya ubah dan perbaiki.

"Dalam industri seni kita terbuka kepada krtikan dan komen. Waktu mula-mula saya muncul dulu pun orang dah kritik," katanya.

Dalam pada itu Fattah yang baharu sahaja melancarkan novel Wanita Terakhir berkata dia tidak menyangka hasil coretannya selama ini dipandang tinggi golongan penulis buku.

"Kemenangan dalam kategori Buku Popular adalah hasil sokongan peminat dan pembeli yang menyokong buku saya.

"Saya tak letak sebarang harapan untuk menang apa-apa anugerah kerana idea asalnya ialah ia dibuat untuk peminat sebagai cenderahati," katanya.

Perkembangan lain, Fattah tersenarai dalam tiga kategori ABPBH 3.0 iaitu Pelakon TV Lelaki Popular, Gandingan Serasi Drama dan Artis Sensasi. - MD

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :