Freedom Fest 2017 bakal menjulang kembali perjuangan Anwar

Freedom Fest 2017 dengan tema #FreeAnwarNow yang akan berlangsung bersempena Konvensyen KEADILAN peringkat nasional di Shah Alam pada 21 Mei ini akan menjulang semula perjuangan Ketua Umum KEADILAN, saudara Anwar Ibrahim di persada pemikiran rakyat.
AnwarPengerusi Freedom Fest 2017, Yusmadi Yusoff berkata, program itu dianjurkan bertujuan untuk mengingatkan kembali perjuangan Anwar sejak era reformasi tahun 1998 serta memastikan beliau kekal relevan sebagai pemimpin masa hadapan.
“Tujuan utama program ini untuk memberitahu rakyat bahawa Anwar Ibrahim sehingga ke hari ini masih insan yang relevan sebagai calon Perdana Menteri. Saya rasa perkara ini perlu diketengahkan kembali terutama kepada anak muda yang masih kecil ketika reformasi 1998.
“Freedom Fest ini juga bertujuan untuk memperjuangkan apa sahaja agenda kebebasan seperti kebebasan berkarya, bersuara, hak OKU (Orang Kelainan Upaya) dan juga perjuangan kebebasan yang lain.
“Setakat ini, program kami telah berjaya mendapat kerjasama dari semua kelompok reformis, anak muda dan lain-lain. Saya selaku koordinator juga mengalu-alukan penyertaan dari semua rakyat Malaysia,” kata Yusmadi kepada Suara Keadilan.
Selain pengisian perjuangan Anwar, kata beliau, program tersebut juga akan diselitkan pelbagai acara persembahan termasuk nyanyian, pameran lukisan dan deklamasi puisi.
“Kita dapat penyertaan daripada kartunis politik iaitu Zunar yang akan membuat pameran manifestasi seni lukis berdasarkan pembebasan rakyat dari tirani, penyajak dari anak muda dan sebagainya.
“Juga ada penyertaan dari penulis-penulis buku, ada booth untuk buku dan barang seni serta booth khas tentang perjuangan Anwar Ibrahim,” katanya lagi.
Menurut Yusmadi lagi, program berkenaan turut mendapat kerjasama yang baik daripada Institut Wanita Berdaya di bawah pimpinan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin, Generasi Keadilan di bawah pimpinan Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin serta ahli keluarga Anwar.
“Kita dapat kerjasama dari pihak keluarga Anwar. Satu koloborasi menarik antara politik dan NGO, anak muda dan wanita.
“Kita akan menayangkan filem istimewa bertajuk ‘A Whisper To A Roar’ yang menampilkan Anwar, Tun Mahathir, isteri Anwar (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan lain-lain dalam mendepani perjuangan,” katanya.
Program Freedom Fest 2017 akan berlangsung pada 21 Mei dari pukul 9 pagi hingga 12 malam.

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :