Beliau bagaimanapun tidak bersetuju kereta kebangsaan dapat memberikan nilai tambah kepada ekonomi negara.
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata selain daripada RM170 juta bagi membeli kepentingan 49.9% dalam Proton, masih kabur bagaimana jumlah pelaburan yang bakal dibawa masuk Geely bagi memajukan Proton.
Sebaliknya, Pua berkata Proton bakal menerima suntikan dana terakhir daripada kerajaan sebanyak RM1.35 bilion.
“Maksudnya, Geely sebenarnya sekadar membayar RM170 juta bagi memperolehi kepentingan 49% dalam sebuah syarikat bakal menerima suntikan tunai daripada kerajaan sebanyak RM1.35 billion!” kata Pua dalam kenyataannya.
Minggu lalu, DRB-Hicom mencapai persetujuan untuk menjual 49.9% pegangan dalam Proton Holdings kepada Zhejiang Geely Holding Group – yang sebelum ini mengambil alih Volvo dari Sweden – termasuk membolehkan Geely memiliki kepentingan 51% dalam pembuat kereta Britain, Lotus.
Proton yang ditubuhkan pada 1983 sebagai syarikat otomobil pertama negara dihimpit masalah kewangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini walaupun mendapat sokongan dan bantuan kerajaan.
Pada 2001, Proton menguasai bahagian pasaran sebanyak 53%, tetapi ia merosot kepada 14% tahun lalu, di sebalik populariti kereta import dan aduan mengenai mutu kereta Proton.
Pengasas Proton, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan orang paling lantang membantah kemasukan syarikat China itu, kerana menganggap Proton kebanggaan Malaysia.
Pua bagaimanapun tidak setuju dengan hujah Dr Mahathir.
“Sebuah ‘kereta kebangsaan’ tidak menambah nilai ekonomi sesebuah negara sekiranya ia tidak dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang cukup dan industri yang berdaya saing,” katanya.
Sebaliknya, Pua berkata ukuran bagi menilai penglibatan Geely ialah sejauh mana rancangannya memajukan industri kereta di Malaysia.
“Kami masih tidak pasti sama ada Geely mahu menggunakan sepenuhnya apa yang selalu disebuh sebagai kemampuan Proton mengeluarkan lebih banyak kereta, tidak kira ia jenama Proton, Geely atau Volvo,” katanya.
Read More / Baca Lagi >>