Haram Rokok Aspirasi Penting TN50 - KJ


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menjadikan dasar mengharamkan rokok di negara ini sebagai antara aspirasi penting dalam agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata aspirasi berkenaan dapat direalisasikan dengan kerjasama dan sokongan semua pihak berkaitan.

"Itu keputusan yang bakal kita buat (cadangan haram rokok). Mana-mana saya pergi, sokongan untuk tidak lagi jual rokok pada 2050 seperti Brunei, sangat menerima sokongan.

"Perkara ini akan dikemukakan kepada kerajaan," katanya ketika ditemui pada Sesi Dialog TN50: Wanita Pemacu Negara, di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri dan Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Abdul Jalil Abdul Hamid.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, mentaliti, sikap dan nilai dimiliki rakyat memainkan peranan untuk memastikan keberhasilan TN50.

Katanya, cabaran utama dihadapi negara ketika ini adalah untuk mengubah tiga 'elemen' berkenaan yang diamalkan secara negatif majoriti rakyat di negara ini.

"Banyak cadangan menyentuh sistem pendidikan, tapi kalau kita nak bergantung pada sistem pendidikan, susah dapat keberhasilan yang menyeluruh.

"Ia memberi beban kepada sistem pendidikan, paling penting adalah (peranan) keluarga, ibu bapa dan masyarakat.

"Perubahan mentaliti juga perlu dibuat menerusi kempen untuk tunjuk sikap tertentu yang perlu diubah, membabitkan isu seperti kebersihan," katanya. - BHOnline

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :