Harga Minyak Dunia Jatuh Sedikit


LONDON: Harga minyak dunia susut sedikit hari ini, apabila kebimbangan terhadap permintaan yang perlahan dan kenaikan berterusan output minyak mentah Amerika Syarikat (AS) menjejaskan impak harapan pemotongan pengeluaran yang diterajui Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mungkin dilanjutkan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak, berada pada AS$49.33 setong, jatuh daripada setinggi AS$49.60 pada awal dagangan dan hampir kepada penutup terakhirnya.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) diniagakan pada AS$46.40 setong, susut daripada paras tertinggi antara hari AS$46.66 dan juga hampir tidak berubah daripada penutup terakhirnya.

Peniaga berkata, pasaran minyak berada di bawah tekanan apabila pengeluaran di AS terus meningkat, khususnya daripada syarikat cari gali syal dan kebimbangan kelembapan di China menjejaskan usaha OPEC untuk meningkatkan harga minyak.

Pengeluaran minyak mentah AS meningkat lebih 10 peratus sejak pertengahan 2016 kepada 9.3 juta tong sehari (bpd), menghampiri pengeluar terbesar, Russia dan Arab Saudi.

"Ia menjadikan sukar untuk menurunkan jumlah simpanan ke paras yang dirasakan OPEC akan membolehkan harga minyak meningkat dengan mampan," kata Ketua Ahli Strategi firma pembrokeran AxiTrader, Greg McKenna.

Goldman Sachs berkata, syarikat cari gali syal di AS 'secara asas mengubah' industri minyak disebabkan keupayaan mereka untuk meningkatkan output lebih pantas berbanding pengeluar konvensional.

Bank of America Merrill Lynch berkata, harga minyak yang rendah juga adalah disebabkan kelembapan permintaan. - REUTERS

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :