KUALA LUMPUR: Malaysia turun satu anak tangga kepada kedudukan ke-158 dunia dalam ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang diumumkan semalam.
Menurut laman web rasmi FIFA www.fifa.com, penurunan ranking skuad Harimau Malaya itu adalah disebabkan peningkatan tiga anak tangga oleh pasukan Mauritius yang kini menghuni tempat ke-157.
Kedudukan itu menjadikan Malaysia kekal dalam kelompok bersama Sudan (155), Papua New Guinea (156), Moldova (159), Singapura (160) dan Taiwan (161).
Iran kekal pasukan terbaik Asia dengan menduduki ranking ke-28 dunia, diikuti Korea Selatan (43), Jepun (44) dan Australia (50).
Sementara itu, tiada perubahan pada kelompok 20 pasukan teratas bulan ini dengan Brazil terus mendahului di depan jirannya Argentina, Jerman dan Chile.
Madagascar menjadi pasukan yang menunjukkan peningkatan paling besar bulan ini apabila naik sembilan tangga ke posisi 111 manakala Malawi merosot teruk iaitu turun 14 tangga kepada 114.
Ranking bulanan ini membabitkan 206 negara. - BERNAMA