KUALA LUMPUR: Identiti dua rakyat Malaysia yang dipercayai terbunuh dalam pertempuran di bandar Marawi, Mindanao masih belum dapat disahkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya masih menunggu pengesahan mengenai dua rakyat Malaysia yang didakwa antara 13 anggota kumpulan pengganas yang terkorban dalam pertempuran dengan tentera Filipina.
"Kita masih belum boleh lagi mengesahkan nama serta identiti mereka yang terlibat itu," katanya ketika dihubungi BH.
Khalid mengulas mengenai laporan yang mengatakan dua rakyat Malaysia yang terbunuh adalah 'Ustaz' Abdulrahman Asmawi dari Kelantan dan Dr Kamsa Yahya dari Kedah.
Terdahulu, laporan dari Filipina menyebut warga Malaysia dan Indonesia antara enam yang terbunuh dalam pertempuran selama tiga hari di bandar Marawi, apabila tentera cuba mengusir pemberontak Maute yang dikaitkan dengan kumpulan Daesh.
Seramai 11 askar dan 31 militan terbunuh selepas Filipina mengerahkan helikopter penggempur dan pasukan khas untuk mengusir sekumpulan lelaki bersenjata dari bandar di selatan Manila yang didiami kira-kira 200,000 penduduk.-BHOnline