Inflasi Diunjur 4.4 Peratus Pada April - RAM Ratings


KUALA LUMPUR: RAM Ratings mengunjurkan inflasi di Malaysia menyederhana kepada 4.4 peratus pada April 2017, berbanding 5.1 peratus pada Mac berikutan pengurangan kesan daripada asas yang rendah kumpulan bahan api pengangkutan. 

Dalam terbitan sulung laporan 'Economic Insight' hari ini, agensi penarafan itu berkata, kumpulan bahan api pengangkutan menyumbang secara ketara kepada peningkatan inflasi teras, pada suku pertama tahun ini. 

RAM Ratings berkata, aliran menaik tidak menentu harga minuman bukan alkohol dan makanan turut mempengaruhi tekanan harga tahun ini, susulan pemansuhan subsidi minyak masak pada November 2016, dan kenaikan harga ikan, makanan laut, sayur-sayuran dan makanan di luar rumah. 

"Inflasi makanan di luar rumah kekal pendorong utama kenaikan harga bagi kumpulan minuman bukan alkohol dan makanan keseluruhan, memandangkan wajarannya adalah 36.8 peratus berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP)," menurut agensi itu. 

RAM Ratings, yang mengekalkan unjuran IHP tahunannya pada 3.0 peratus, bagaimanapun mengakui tekanan menaik akan menjejaskan unjuran asasnya, terutama daripada aliran harga bahan api. 

"Kami akan memantau semua faktor termasuk kesan jangkaan lanjutan pengurangan pengeluaran minyak oleh Pertubuhan Negara-negara Petroleum, selain kepantasan dan kemampanan pengeluaran minyak syal, di samping potensi kejutan penawaran apabila berlakunya peningkatan risiko geopolitik," menurut agensi itu. - BERNAMA

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :