Ini beza projek saya dan projek Najib, kata Dr Mahathir

Bekas perdana menteri itu berkata beliau berpegang kepada prinsip jangan berbelanja melebihi pendapatan dalam membangunkan projek ketika pentadbirannya.
mahathir-news-3
PUTRAJAYA: Membandingkan pelaburan kerajaan hari ini yang disifatkannya sebagai hanya membebankan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pelaburan dan projek ketika zamannya mendatangkan keuntungan kepada negara.
Bekas perdana menteri itu berkata, ia juga dibuat berdasarkan keperluan negara dan bukan untuk populariti.
“Kebanyakannya dibuat berdasarkan pulangan, bukan untuk ‘membodek’ rakyat atau menjadi popular.
“Ia digunakan untuk sesuatu yang produktif, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama FMT baru-baru ini.
Memberikan Litar Antarabangsa Sepang sebagai contoh, beliau berkata ia memakan kos sebanyak RM230 juta tetapi memberikan pulangan yang tidak ternilai kepada negara.
“Nilainya dari segi mengangkat (nama) Malaysia ke dunia. Perlumbaan Formula 1 selama 3 hari mendapat liputan lebih 39 stesen televisyen seluruh dunia, dan nilai ‘iklan’ itu berbilion ringgit.
“Ia penting untuk meningkatkan kedatangan pelancong, yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
“Ia adalah pelaburan, bukan untuk suka-suka,” katanya.
Malaysia akan berhenti menganjurkan perlumbaan Formula 1 bermula tahun depan atas sebab kos yang terlalu tinggi dan tidak mendatangkan pulangan memadai kepada negara.
Berhubung KLIA yang pernah diramal bakal menjadi “gajah putih”, Dr Mahathir berkata ia terbukti salah, dan berkata lapangan terbang besar seumpama itu perlu kerana “industri perjalanan udara berkembang dengan pantas”.
“Dalam masa hampir 20 tahun (sejak KLIA beroperasi), pertambahan (penumpang) meningkat daripada 18 juta kepada 42 juta setahun.
“Jadi kita menyediakan 25,000 ekar tanah untuk lapangan terbang. Jika tiada (tanah) apa akan terjadi? Mungkin lapangan terbang (terpaksa dibina) di Terengganu.”
Menurut laporan tahunan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) 2016, jumlah pergerakan penumpang antarabangsa dan domestik bagi KLIA pada tahun itu adalah 52.6 juta, meningkat 7.6% berbanding 2015 iaitu pada 48.9 juta.
“Jika tidak memandang jauh ke hadapan, tidak boleh membuat perancangan,” katanya.
Projek Mahathir vs projek Najib
Di akhir dekad 1990-an, istilah “projek mega” – dengan konotasi negatif – digunakan pengkritik Dr Mahathir bagi menggambarkan projek berbelanja besar ketika itu.
Litar Sepang, KLIA, Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan pusat pentadbiran baru di Putrajaya dikritik hebat dan disifatkan sebagai pembaziran.
Apatah lagi sebahagiannya dibina ketika negara dilanda krisis ekonomi bermula 1997.
“Kebanyakannya dibina tidak melebihi kemampuan negara, dan tanpa meminjam. Jika ada pun (pinjaman) jumlahnya kecil, tidak melebihi RM1 bilion,” kata Dr Mahathir.
Bukan seperti projek sekarang, katanya, di mana kerajaan meminjam dengan jumlah yang besar yang menurutnya tidak sihat untuk negara.
Sebagai contoh, beliau menyebut projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) sepanjang 600km menghubungkan Lembah Klang ke Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Bagi projek itu, kerajaan membuat pinjaman mudah dengan Export Import Bank of China (China Exim Bank) berjumlah RM55 bilion, dan bakal dibina oleh China Construction Communications Company seperti yang ditetapkan Beijing.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :