JAKARTA: Mahkamah di Jakarta hari ini akan memutuskan sama ada gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama bersalah menghina Islam, di penghujung perbicaraan yang menguji toleransi agama di negara paling banyak penduduk Islam ini.
Kerajaan Indonesia sebelum ini dikritik kerana gagal mempertahankan kumpulan minoriti agama, manakala Presiden Joko Widodo yang merupakan sekutu penting Purnama, atau Ahok, menyeru semua pihak bertenang dan menghormati proses mahkamah.
Beribu-ribu anggota polis ditempatkan di Jakarta hari ini bagi menghalang sebarang kemungkinan pergaduhan antara kumpulan penyokong Ahok dan kumpulan Islam yang menuntut beliau dipecat dan dipenjarakan, atas dakwaan menghina Al-Quran.
“Kedua-dua kumpulan boleh menunjuk perasaan, tetapi kami mengambil langkah menghalang sebarang pergaduhan,” kata jurucakap polis Indonesia, Setyo Wasisto.
Ahok gagal mempertahankan jawatannya bulan lalu dalam pilihan raya gabenor Jakarta yang didominasi sentimen agama, selepas ia dimenangi Anies Baswedan, yang akan mengambil alih pada Oktober.
Pendakwa raya mahu Ahok dipenjarakan setahun, bagaimanapun penentang beliau mahu hukuman lebih berat.
“Kami berharap hukuman lebih berat dijatuhkan daripada apa yang dicadangkan,” kata Novel Bamukmin, jurucakap Front Pembela Islam (FPI) yang menganjurkan demonstrasi besar-besaran menentang penyertaan Ahok dalam pilihan raya baru-baru ini.
Ahok menafikan tuduhan menghina Islam, walaupun beliau memohon maaf atas kenyataannya mengkritik seterunya kerana menggunakan ayat Al-Quran ketika berkempen. - Reuters