ALBUQUERQUE, New Mexico: Jet peribadi milik lagenda Rock n Roll dunia Elvis Presley dilelong selepas dipamerkan di landasan lapangan terbang New Mexico selama 35 tahun.
Rumah lelongan GWS Auctions Incoporated berkata, pesawat itu dijual pada harga AS$430,000 (RM1.8 juta) di Agoura Hills, California ketika acara menampilkan memori selebriti.
Bagaimanapun, nama pembeli tidak didedahkan dalam nota penjualan yang disiarkan menerusi laman web syarikat dan juru lelong, Brigitte Kruse.
Katanya beliau tidak dapat mendedahkan maklumat pembeli atau perancangan untuk pesawat itu.
Difahamkan, reka bentuk dalam pesawat direka sendiri oleh Elvis menggunakan bahan kayu bersalut emas, tempat duduk beralas kain baldu dan karpet merah.
Liveauctioneers.com berkata, pesawat merah jenis Lockheed Jetstar 1962 itu tidak mempunyai enjin dan bahagian kokpit perlu dibaiki.
Pemilik asalnya adalah Elvis dan bapanya, Vernon Presley. - AP