Kanak-Kanak 2 Tahun Sangkut 6 Meter Bawah Tanah


BEIJING: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun berjaya diselamatkan selepas jatuh ke dalam longkang yang dalam dan sempit di sebuah tapak pembinaan di utara China.

Kanak-kanak itu dilaporkan terjatuh ketika bermain di tempat itu di wilayah Henan menyebabkan dia terperangkap enam meter di bawah tanah, lapor People’s Daily.

Kira-kira 12 anggota bomba dan pasukan kecemasan menggali parit sedalam enam meter untuk menyelamatkan mangsa yang tersangkut di dalam lubang sebesar 36 sentimeter dan tanpa saluran udara itu.

Rakaman video menunjukkan bomba menjerit ‘berikan oksigen’ kepada pekerja penyelamat lain ketika berusaha mengeluarkan kanak-kanak itu dalam kejadian yang dilaporkan berlaku Sabtu lalu.

Mereka mengambil masa sejam untuk mengeluarkan kanak-kanak itu sebelum dia terus dihantar ke hospital.

Pengguna Internet China rata-rata memuji usaha menyelamat itu.

Kejadian seperti itu tidak asing di China dengan sekurang-kurangnya 35 kanak-kanak maut selepas terjatuh ke dalam lubang atau perigi buta sejak 2011, menurut laporan Legal Evening News tahun lalu.

Separuh kes berkenaan membabitkan kanak-kanak yang dibiarkan bersendirian, malah kebanyakan kejadian dilaporkan di wilayah Henan. - Agensi

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :