KEMAJUAN TEKNOLOGI TAK PERLUKAN LAGI PERJUANGAN BAHASA DAN BUDAYA MELAYU


Sebagai budayawan tulin,Tan Sri Rais Yatim telah menjuarai penentangan terhadap Bahasa Rojak  walau di mana kementerian beliau berada dan beliau sendiri adalah identiti keperkasaan budaya terutama  dalam penguasaan bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang sempurna dan indah.

Memanglah layak  beliau menjadi Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan tetapi barangkali masa sudah tidak sesuai lagi.

Apabila saya menjadi Mentri Penerangan saya cuba membantunya untuk menghapuskan bahasa rojak. Saya mengharapkan tindakan berkesan dengan membentuk Jawatankuasa Bersama Antara RTM dan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memantau dan mengumpul secara rambang kesilapan ini yang sering dilakukan dalam drama TV di semua stesen dan kemudian didedahkan seminggu sekali di akhbar dan  RTM sendiri.

Dengan itu orang ramai akan dapat mengenali stesen manakah yang paling kehadapan dalam merosakan bahasa  atau melalaikan tanggungjawab terhadap kemurnian bahasa ibunda.

Oleh kerana tidak ada penumpuan sirius dari mereka yang dipertanggungjawabkan dari Dewan Bahasa  maka saya tidaklah lagi memberikan perhatian berat kerana menerima realiti orang yang pandai berbahasa  tidak semesti pandai bekerja.

Disamping itu saya menerima hakikat bahawa kesempurnaan dan ketidakrojakan bahasa tidak lagi diperlukan dalam kepantasan keperluan  teknologi terutama bagi bidang komunikasi.

Penerapan bahasa Inggeris dalam semua aspek tidak  lagi dapat dipertahankan dan tidak lagi dapat di kejar oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang tidak mempunyai sense of urgency sesuai dengan kehendak semasa.

Dewan Bahasa sebagai institusi  Melayu masih dalam sistem kerja budaya Melayu ketika   mengahadapi cabaran kepantasan budaya dunia. Jika seorang wartawan dapat menterjamahkan  sesebuah novel dalam masa sebulan Dewan Bahasa  mungkin mengambil masa dua tiga tahun.

Tan Sri Johan Jaafar  bekas  Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang  pernah berada dalam dunia kewartawanan telah  bercerita kepada saya tentang perbezaan dan sikap kerja dalam dunia kewartawanan yang senantiasa memerlukan kepantasan dengan  budaya kerja relax Melayu   di Dewan Bahasa yang sukar untuk diubah.

Saya menimbulkan isu bahasa rojak ini  dan pendekatan sikap budaya Melayu   berikutan dengan kegagalan Kongres Budaya 2017 untuk mengenali anasir-anasir  budaya dinamik yang diperlukan  Melayu dan budaya   yang perlu  dihapuskan sebaliknya lebih menumpukan kepada mahu menghidupkan  budaya Melayu  yang tidak lagi sezaman.

Berikutan dengan kongres itu juga , Lembaga Penapisan Filem (LPF)telah menegur stesen TV dan penerbit yang membenarkan penggunaan bahasa rojak pada tajuk cerita drama  dan filem dan disamping  berlaku  keliaran  dalam dialog drama TV yang sering bercampur Inggeris dan Melayu.

Pengarah dan penerbit filem tersohor Yusof Haslam mempertahankan ini sebagai suatu penerimaan masyarakat sekarang kerana tidak sahaja berlaku  di kalangan penerbit filem tetapi juga dalam kepimpinan negara seperti mesyuarat dan urusan urusan kerajaan lainnya.

Mungkin hal ini boleh dilihat sebagai suatu kewajaran kerana Indonesia sendiri yang selama ini menjadi kiblat contoh  kedaulatan Bahasa Ibunda kepada kita  tetapi sekarang juga sudah tidak lagi  dapat mengawal penerapan bahasa Inggeris  sehingga  lirik lagu-lagunya juga telah dirojakan.

Bagaimana pula dengan kerojakan  bahasa SMS, Whatsapp,Facebook, Instagram dan lain-lain.Adakah boleh dikawal?

Semua bangsa telah kehilangan identiti budaya dan dikuasai oleh budaya teknologi.Maka itu saya memandang sinis terhadap Kongres Budaya 2017 baru-baru  ini dan meanggapnya sebagai membuang masa dan wang kerana gagal mengenali apakah budaya yang diperlukan oleh generasi baru Melayu.

Kehadiran lebih tiga ribu orang di kongres itu   sebenarnya hanyalah  suatu kejayaan mengumpul sejumlah besar manusia  yang tidak disertai oleh fahaman, semangat, dukongan,iltizam dan penghayatan terhadap matlamatnya kerana mereka sendiri hidup dalam suasana atau realiti yang berlainan dari apa yang mahu diperjuangkan.

Saya suka mengulangi apa yang telah saya katakan: Kongres Budaya 2017 tidak lebih dari suatu himpunan penonton  menyaksikan ulang  tayang filem lama untk bernostalgia dengan mimpi yang tak sudah.

Tan Sari Rais Yatim mungkin marah dengan konklusi  saya ini tetapi marilah kita bersama melihat dan perhetongkan  apakah pencapaian dari resolusi Kongres Budaya 17 dalam setahun dua ini.

Nota: Kesilapan ejaan jika ada akan dibetulkan kemudian-zam

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :