Kementerian Luar Anjur Pameran Sejarah Hubungan Diplomatik Negara


KUALA LUMPUR: Kementerian Luar menganjurkan pameran sulung Diplomacy@60: Then & Now untuk orang ramai di Muzium Negara.

Pameran dari 8 Mei hingga 15 Julai itu mempamer personaliti yang membantu membentuk polisi luar negara selain tokoh yang mempunyai kaitan dengan kementerian tersebut.

Lebih daripada 300 diplomat menghadiri pameran yang dirasmikan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini.

Dalam ucapannya, beliau berkata diplomasi selalunya dilakukan di belakang tabir.

"Kini masanya cerita kementerian ini diberitahu kepada umum. Apa yang kami lakukan di kementerian selalunya tidak diketahui atau diberitahu kepada orang ramai. Hanya sebahagian kecil populasi sebenarnya tahu apa yang kami lakukan," katanya dan menambah kementerian berada di barisan hadapan demi kepentingan negara dan di barisan hadapan pertahanan.

Anifah berkata diplomasi selain merupakan urusan kerahsiaan, ia juga merupakan perkara paling tidak menarik bagi mereka yang tidak mengikuti isu.

"Jadi bagi memastikan ada sesuatu untuk semua peringkat masyarakat, kami membina ruang pameran yang interakif," tambahnya.

Sebagai tambahan, beliau berkata pameran turut mempamer item yang tidak pernah dipamerkan sebelum ini seperti surat watikah, mel diplomatik dan kargo.

Sebanyak 18 negara menyertai pameran bagi meraikan hubungan diplomatik 60 tahun dengan Malaysia seperti Australia, Belgium, Kemboja, Kanada, Mesir, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Belanda, New Zealand, Pakistan, Sri Lanka, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat. - BERNAMA

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :