Kerajaan akan bayar balik RM1.1 bilion kepada Proton

Menteri kewangan II berkata, Proton perlu menanggung baki daripada keseluruhan RM3.5 bilion yang dibelanjakan untuk menjalankan R&D.
johari-drb-hicomPUTRAJAYA: Kerajaan akan membayar balik RM1.1 bilion yang dibelanjakan untuk geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada Proton Holdings Bhd, selepas penjualan 49.9% saham pembuat kereta nasional itu kepada Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd selesai.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan hanya memberikan jumlah yang dianggap adil dan baki daripada keseluruhan RM3.5 bilion yang dibelanjakan untuk menjalankan R&D perlu ditanggung Proton.
“Kerajaan hanya bersetuju dengan jumlah yang kami fikirkan adil dan pembayaran itu akan dibuat selepas proses perkongsian strategik asing selesai,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara DRB-Hicom dan Geely, hari ini.
Selain 49.9% saham dalam Proton, perjanjian perkongsian strategik asing antara DRB-Hicom dan Geely itu turut menyaksikan pembuat kereta China itu memperoleh 51% majoriti saham Lotus daripada Proton.
“Hasrat kami ialah sentiasa memastikan pengukuhan semula nama Proton. Perjanjian ini akan menjadi pemangkin untuk meningkatkan jenama yang rakyat Malaysia kenal.
“Tetapi, ia masih tertakluk kepada kawal selia dan kelulusan pemegang saham,” kata Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar.
Katanya, DRB-Hicom bercadang menjual baki 49% kepentingan dalam Lotus.
“Dengan ini, DRB-Hicom tidak akan berada dalam segmen kereta sport lagi,” katanya sambil menambah kedua-dua pihak dijangka memeterai satu perjanjian muktamad sebelum akhir Julai ini.
Syed Faizal juga memberi jaminan pekerja Proton tidak akan diberhentikan dan Geely akan membantu jenama itu berkembang untuk mencapai sasaran 500,000 kereta di Asia Tenggara menjelang 2020.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :