KUCHING: Hala tuju terkini bagi pembangunan ekonomi ialah untuk menubuhkan satu Pusat Pengumpulan Produk Usahawan Mikro (Micro Enterprise Product Collection Centre).
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan, Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Hajah Fatimah Abdullah berkata Kerajaan telah bersetuju untuk menyediakan satu tapak untuk menubuhkan pusat tersebut di Samajaya.
“Pusat Pengumpulan Produk Usahawan Mikro (Micro Enterprise Product Collection Centre), berperanan untuk mengumpul produk daripada pengusaha-pengusaha yang kita bangunkan,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Khamis.
Menurutnya, pusat tersebut akan menyediakan perkhidmatan pembungkusan, pelabelan, penjenamaan, serta kawalan kualiti sebelum produk-produk ini dipasarkan sama ada ke pasaran tempatan dan antarabangsa melalui e-commerce.
"Selain itu, pusat ini juga akan diurus oleh satu kumpulan profesional yang berlatar belakangkan IT dan peniagaan agar memudahkan capaian pasaran yang meluas.
“Kementerian yakin, dengan wujudnya pusat ini, dan pendekatan baru dalam memasarkan produk, kita dapat meningkatkan pendapatan kumpulan ini dan mengeluarkan mereka dari kepompong kemiskinan,” ujarnya. - Sarawakiana