Kiamat Melayu sudah tiba

Kiamat sesuatu bangsa atau masyarakat adalah proses yang perlahan dan berlaku secara beransur-ansur. Tiada gempa yang dirasakan dan tiada gunung-ganang yang musnah.
down
Oleh Rozhan Othman
Istilah “Kiamat Melayu” mula digunakan pada 1980an menjelang tahun keramat 1990 kerana tahun itu tamatnya pelaksanaan DEB (DEB).
Wujud tanggapan bahawa dengan tamatnya DEB, masa depan orang Melayu akan gelap malah ada yang kata orang Melayu akan musnah, dan mereka menjadi lebih mundur dan terasing di bumi kelahiran mereka.
Namun, berbagai peruntukan dalam DEB tetap dikekalkan selepas 1990. Kelebihan dan keistimewaan yang diberi kepada orang Melayu tetap diteruskan.
Ini perlu kerana 2 sebab utama.
Pertama, sasaran yang ditetapkan di bawah DEB masih belum tercapai. Oleh itu, segala peruntukan di bawah DEB perlu diteruskan untuk membolehkan matlamat yang dihasratkan di bawah dasar ini dicapai.
Kedua, golongan elit yang meraih berbagai faedah dan keuntungan daripada dasar ini sudah ketagih dengan nikmat dan peruntukan di bawah DEB.
Tidak mungkin mereka akan membiarkan kesemua itu lupus begitu sahaja. Mereka dan keluarga mereka menjadi kaya kerana peruntukan ini. Mereka memerlukan peruntukan di bawah DEB untuk terus menambahkan kekayaan mereka dan anak pinak mereka.
Jika 1990 dianggap “Kiamat Melayu” kerana berakhirnya sebuah dasar ekonomi, kini sentimen Kiamat Melayu dimainkan semula.
Walau pun istilah Kiamat Melayu tidak digunakan, tanggapan yang diwujudkan ialah kedudukan dan ketuanan Melayu dikatakan akan musnah jika Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan. Seperti 1980-an, fenomena Kiamat Melayu sekali lagi digunakan untuk mempertahankan kepentingan golongan elit ini agar terus berkuasa.
Kepercayaan pada kiamat merupakan sebahagian Rukun Iman dalam Islam. Kiamat yang dibayangkan Al-Quran ialah peristiwa yang menggerunkan dan berlaku secara mendadak. Kemusnahan pada seluruh alam berlaku dalam masa yang singkat.
Namun, kiamat sesuatu bangsa atau masyarakat adalah proses yang perlahan dan berlaku secara beransur-ansur. Tiada gempa yang dirasakan dan tiada gunung-ganang yang musnah.
Kebanyakan orang tidak menyedari ia berlaku sehinggalah sampai pada tahap yang parah.
Demikian juga, Kiamat Melayu juga merupakan satu proses yang perlahan dan beransur-ansur.
Ibn Khaldun menggunakan istilah “kemerosotan dinasti” untuk menerangkan bagaimana sebuah masyarakat melalui proses yang perlahan ini. Ia bermula apabila pemerintah bertindak zalim dan mementingkan diri dan golongan mereka.
Faktor utama yang mendorong mereka mementingkan diri ialah keinginan habuan duniawi. Jika kejayaan pemerintah sebelum itu adalah kerana sokongan dari suku dan kabilah mereka, sikap mementingkan diri mereka menyisihkan mereka dari suku dan kabilah mereka. Akhirnya kekuatan mereka terungkai dan dinasti mereka tumbang.
Fenomena kiamat sesuatu bangsa juga dapat kita lihat hari ini. Zimbabwe melalui krisis ekonomi yang lama. Pada 1980-an ketika Zimbabwe baru merdeka daripada Britain, kadar inflasi berada pada tahap 5% dan kadar pengganguran ialah 10%.
Rakyat Zimbabwe memberi kepercayaan kepada Robert Mugabe untuk memerintah negara mereka. Kini inflasi di Zimbabwe melebih 200% dan kadar pengganguran sudah melebihi 90%.
Keadaan yang sama juga wujud di Venezuela. Hugo Chavez memulakan dasar populis dan pada mulanya dilihat sebagai mengutamakan rakyat. Dasar ini diteruskan oleh Presiden Maduro.
Namun, ekonomi Venezuela merudum kerana pergantungannya pada minyak. Apabila harga minyak jatuh, pendapatan negara juga jatuh. Ditambah lagi dengan dasar ekonomi yang gagal merangsang pertumbuhan. Inflasi meningkat melebihi 300% pada tahun lepas.
Kedua-kedua negara juga mengalami kejatuhan nilai mata wang. Selain daripada dasar ekonomi yang lemah, masalah penyelewengan kuasa dan rasuah berleluasa di kedua-dua negara.
Walaupun keadaan di Zimbabwe dan Venezuela tidak sama dengan di Malaysia, beberapa masalah yang wujud di sana turut wujud di sini.
Kejatuhan nilai ringgit sejak 2014 masih belum pulih. Masalah rasuah masih berleluasa.
Sesiapa yang membaca laporan Ketua Audit Negara Malaysia dan laporan Ketua Audit Negara Zimbabwe akan mendapati banyak persamaan dalam masalah ditemui dalam kedua-dua kerajaan.
Walaupun inflasi di Malaysia dikatakan rendah, rakyat semakin rasa terbeban dengan kos sara hidup yang melambung mendadak.
Tanda kiamat bangsa Melayu
Kiamat Melayu sebenarnya sudah lama bermula. Kesannya pada mulanya tidak ketara. Di antara tanda Kiamat Melayu yang telah dan sedang berlaku termasuklah perkara berikut.
Pertama ialah kemerosotan asas moral orang Melayu, terutama sekali di kalangan pemimpin dan mereka yang sepatutnya berkhidmat untuk masyarakat.
Lihat sahaja mereka yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Hampir kesemuanya Melayu. Jika istilah Ali Baba terkenal di China sebagai sebuah syarikat bertaraf global, di Malaysia ia sinonim dengan peniaga Melayu yang pemalas yang menjual kontrak mereka kepada orang lain.
Kedua, akibat runtuhnya asas moral orang Melayu, berbagai masalah sosial timbul. Orang Melayu merupakan golongan yang paling ramai menagih dadah dan menghidap HIV. Masalah penceraian di kalangan pasangan Melayu semakin meningkat.
Pada masa sama, kadar kemiskinan paling tinggi di kalangan orang Melayu biarpun DEB dilaksanakan sekian lama. Kadar pengangguran di kalangan graduan Melayu juga tinggi.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :