SEOUL: Korea Utara menahan seorang lagi warga negara Amerika Syarikat (AS), yang didakwa mengancam keamanan dan cuba menjatuhkan kerajaan negara itu.
Agensi Berita Rasmi Pusat Korea (KCNA) berkata, Kim Hak-song ditahan Sabtu lalu dan melaporkan institusi berkaitan sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung jenayah yang dilakukannya.
Hak-song bertugas di Universiti Sains dan Teknologi Pyongyang, institusi yang sama dengan tahanan lain, termasuk pensyarah perakaunan, Kim Sang-dok, yang disahkan penahanannya Rabu lalu.
KCNA tidak menyatakan sama ada kedua-dua kes itu mempunyai kaitan.
Sementara itu, universiti terbabit dalam satu kenyataan awal hari ini, berkata Kim Hak-song melakukan kerja pembangunan pertanian di sebuah ladang eksperimen.
Menurut kenyataan itu, pihaknya difahamkan penahanan itu tiada kaitan dengan kerja yang dijalankan oleh Hak-song di universiti dan tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu.
Dua lagi rakyat Amerika Syarikat yang ditahan di Korea Utara adalah Otto Warmbier, yang menjalani hukuman penjara 15 tahun dengan kerja berat kerana didakwa menanam sentimen antinegara.
Yang turut ditahan, Kim Dong-chul, yang menjalani hukuman penjara 10 tahun dengan kerja berat kerana didakwa melakukan pengintipan. - AP