Kos hidup makin tinggi bakal hakis undi BN

Kenaikan harga adalah faktor utama mendorong pengundi bandar dan bukan Melayu untuk menjauhi gabungan yang diketuai Umno sejak 2 pilihan raya umum lalu.
naik-taraf-hidup-bn-undiKUALA LUMPUR: Seramai 1.6 juta penjawat awam Malaysia sudah lama menjadi salah satu bank undi paling boleh dipercayai oleh parti pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tetapi sementara mahu menghadapi pilihan raya umum, beliau berhadapan dengan risiko kos sara hidup melambung tinggi boleh menghakis sokongan itu.
Harga meningkat secara mendadak sejak Malaysia mengurangkan subsidi kerajaan dan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan untuk menutup lompong sumber pendapatan negara yang berpunca daripada kemerosotan pendapatan minyak dan gas, dan pekerja-pekerja kerajaan peringkat bawah mendakwa mereka kini merasai keperitan hidup.
“Isteri saya peroleh pendapatan sampingan dengan melakukan kerja-kerja bebas. Tetapi kami tidak boleh simpan,” kata Mohd Nizam, 28, yang menyokong parti Najib, Umno masa-masa lalu tetapi, seperti sebahagian kakitangan awam yang bercakap kepada Reuters, tidak mahu mengatakan sama ada dia berbuat demikian lagi atau tidak.
“Saya tidak tahu bagaimana kami akan menguruskan jika kami ada anak,” kata Nizam, yang menunggang motosikal untuk bekerja setiap hari di pusat pentadbiran Putrajaya, di mana dia memperoleh RM3,000 sebulan sebagai seorang kerani kerajaan.
Kenaikan harga adalah faktor utama mendorong pengundi bandar dan bukan Melayu untuk menjauhi gabungan yang diketuai Umno sejak 2 pilihan raya umum lalu.
Tetapi Umno berpegang kepada pengundi-pengundi Melayu Islam di kawasan-kawasan luar bandar dan undi kakitangan awam – kebanyakan daripada mereka adalah kaum Melayu kerana dasar diskriminasi positif sejak beberapa dekad lalu yang memberi mereka keutamaan dalam pasaran kerja sektor kerajaan.
Mandat semasa hanya akan berakhir tahun depan. Bagaimanapun selepas berhadapan dengan skandal membabitkan 1MDB, Najib dijangka mengambil kesempatan daripada keadaan kucar-kacir dalam barisan pembangkang dan mengadakan pilihan raya umum tahun ini.
Penganalisis meramal Najib akan menang, tetapi beliau hanya ada sedikit ruang untuk bergerak.
Pada tahun 2013, Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno hilang undi popular tetapi memenangi kebanyakan kerusi Parlimen dan jika majoriti terhakis kali ini, Najib bakal menghadapi cabaran kepimpinan dalaman.
Rizalman Mokhtar, pemimpin akar umbi dengan Umno berkata, beliau bimbang penjawat awam, yang membentuk kira-kira 15% daripada keseluruhan pengundi, boleh berubah terhadap parti itu jika tiada apa-apa dilakukan mengenai kos sara hidup yang meningkat.
“Kita perlu menangani isu ini atau ia akan memberi impak besar kepada sokongan kepada kita,” katanya.
Inflasi tahunan Malaysia mencecah paras tertinggi dalam 8 tahun lalu iaitu sebanyak 5.1% pada bulan Mac lepas, antara yang paling cepat di rantau Asia Tenggara dan jauh mengatasi Singapura, Indonesia, Filipina dan Thailand.
Pertumbuhan gaji sektor swasta dijangka purata 5.7% di antara tahun 2013 dan 2017, berdasarkan data Persekutuan Majikan-majikan Malaysia.
Tetapi pertumbuhan gaji sektor awam adalah antara 2% dan 3% dalam tempoh yang sama, menurut Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuecpacs).
Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata, penjawat awam berhadapan dengan masalah banyak berhutang bagi menghadapi masalah kos hidup yang semakin meningkat, sehingga lebih 60,000 bakal hadapi risiko muflis.
“Ini adalah kesan langsung daripada kenaikan kos sara hidup. Kakitangan awam akhirnya mengambil banyak hutang dan ini adalah tidak mapan dan mereka tidak dapat menguruskan kewangan mereka,” Azih kepada Reuters.
Read More / Baca Lagi >>

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :