Penganalisis menjangkakan Perodua akan berdiri teguh di pasaran kerana syarikat itu mendapat latihan daripada rakan kongsi Jepun, Toyota.
Justeru, salah satu perkara dinasihatkan Pengarang Urusan Motor Trader Malaysia, Keshvinder Dhillon, manfaatkan pakatan rakan kongsi yang Perodua sedia ada bersama Toyota, yang memiliki 25% pegangan dalam syarikat itu.
“Toyota mempunyai rangkaian model yang banyak berbanding Geely.”
Pengguna boleh melihat apa sahaja dilakukan oleh Proton di bawah pemilikan Geely, Perodua akan ada jawapan bagi sebarang kemungkinan yang bakal dilalui, kata beliau kepada FMT.
Bagaimanapun Keshvinder memberi amaran, jika Proton memutuskan untuk menurunkan segmen keretanya, Perodua akan ada pesaing.
Katanya, jika Proton kekal dengan langkah mengembang atau menukar jenama kereta Geely yang menawarkan harga di antara RM90,000 dan RM160,000, ia sesuatu yang tidak setanding dengan Perodua.
Rabu lalu, DRB-Hicom mencapai persetujuan untuk menjual 49.9% pegangan dalam Proton kepada syarikat automotif China itu, termasuk membolehkan Geely memiliki kepentingan 51% dalam pembuat kereta Britain, Lotus daripada Proton pada harga £51 juta.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebelum ini berkata, berdasarkan rekod pencapaian Geely, kumpulan itu mampu memacu prestasi jualan dan pengeluaran Proton.
“Pakatan dengan Geely akan menjadi permulaan era baharu untuk Proton. Perjalanannya masih jauh, namun saya yakin ini merupakan satu halu tuju yang tepat.
“Tahun lepas, Proton memperkenalkan 4 model baharu dan kami berharap dapat melihat peningkatan berterusan dalam usaha penambahbaikan model-model kenderaan keluarannya hasil memanfaatkan kemudahan yang akan disediakan pihak Geely,” katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas jalinan pakatan itu.
Geely yang juga antara firma automotif utama China, mencatat pertumbuhan sebanyak 50% tahun lepas menerusi 766,000 unit kenderaan.
Malah, usaha pengambilalihan Volvo yang dilaksanakan syarikat itu pada 2010 juga terbukti berjaya, apabila Volvo mencatat jualan 540,000 kenderaan pada 2016, iaitu peningkatan lebih 200,000 unit pada 2009 – tempoh sebelum pembelian berkenaan.
Dalam pada itu, Pengarang Urusan Careta.my, Hezeri Samsuri yang bersetuju dengan pandangan Keshvinder berkata, beliau percaya Perodua akan berdiri teguh di pasaran kerana syarikat itu mendapat latihan daripada rakan kongsi Jepun.
“Sebagai contoh, Perodua mampu membuat pengubahsuaian produk mereka dalam tempoh beberapa bulan selepas pelancaran sesebuah kereta, sebaik mendapat maklum balas negatif daripada pelanggan.”
Katanya, proses sedemikian biasanya akan mengambil masa sekurang-kurangnya beberapa tahun.
Read More / Baca Lagi >>