PUTRAJAYA: Kajian mendapati 65 peratus kes kanser di negara ini dikesan pada tahap tiga dan empat, sekali gus menyukarkan proses rawatan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata ia berikutan kebanyakan pesakit tidak menjalani ujian saringan dan pengesanan awal.
Katanya, kanser adalah penyumbang kematian keempat tertinggi pada 2015 iaitu 13.56 peratus daripada
kematian lain di hospital kerajaan seluruh negara.
"Ketika ini, Kementerian Kesihatan turut menyediakan saringan kanser usus besar menggunakan 'immunological Fecal Occult Blood Test' (iFOBT) diikuti kolosnoskpi.
"Ini bagi mengesan kemungkinan kehadiran penyakit itu dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai tanda awal kanser," katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Kesedaran Kanser Dalam Kalangan Penjawat Awam 2017 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr Choong Chee Kheong.
Program sehari yang dihadiri lebih 100 peserta itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan langkah pencegahan kanser dalam kalangan penjawat awam, selain peluang membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma.-BHOnline