MIRI: Seorang warga Indonesia berusia 26 tahun ditahan polis kerana mengugut menyerang penjawat awam menggunakan pisau pemotong daging di Gerai Golden Sunbest Sdn Bhd dekat Taman Tunku Miri petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Supritanden Stanly Johnathan Ringgit, berkata suspek yang berasal dari daerah Pontianak, Kalimantan, Indonesia, bertindak demikian kerana marah ditegur serta disuruh memotong daging babi.
Beliau berkata, dalam kejadian jam 6 petang itu kakitangan awam itu menegur suspek menyuruhnya memotong daging lebih kecil.
"Suspek terus membaling daging itu ke arah lain kerana tidak puas hati dengan permintaan kakitangan awam berkenaan.
"Suspek yang memegang pisau pemotong daging mengajaknya masuk ke dalam kedai beradu kekuatan, tetapi penjawat awam itu tidak masuk dan terus tinggalkan kedai tersebut dan membuat laporan polis," katanya hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati suspek bertindak demikian kerana tidak berpuas hati di tegur mengenai cara memotong daging.
Katanya, semasa kejadian suspek tidak bertugas tetapi bertindak menggunakan pisau pemotong daging sepanjang 8 inci, bentuk separuh bulat, mengugut pengadu.
"Suspek seakan-akan ingin menyerang dan mencabar pengadu masuk ke dalam kedai," katanya.
Berikutan itu, suspek ditahan polis dan akan didakwa mengikut Seksyen 506, Kanun Keseksaan. BHOnline