BEIJING: Pihak berkuasa Beijing giat membersihkan kawasan lorong atau 'hutong' di sekitar bandar raya ini, yang menempatkan jutaan pekerja asing dan ribuan perniagaan kecil.
Langkah itu menyebabkan kedai yang dibina secara haram dirobohkan, manakala kedai minuman keras dan restoran kecil dipindahkan.
Berdasarkan garis panduan dikeluarkan bulan lalu, pihak berkuasa memulakan program merobohkan hartanah dan premis di sepanjang lorong sempit yang sebahagian besarnya dibina pada abad ke-13.
Pihak berkuasa turut merobohkan bahagian hadapan kedai bertujuan memulihkan keaslian luar bangunan terbabit.
Pada masa sama, pihak berkuasa berhenti mengeluarkan lesen komersial baharu bertujuan membersihkan Beijing daripada 'hutong' yang menyebabkan binaan bangunan menjadi tidak selamat atau runtuh.
Malah, lesen sedia ada juga tidak akan diperbaharui.
Dalam pada itu, pemilik premis perniagaan dilihat mengambil gambar bahagian depan kedai masing-masing, sambil mengucapkan selamat tinggal.
Malah, ada antara mereka yang meluahkan kesedihan kerana bakal berpisah dengan suasana bandar lama Beijing.
"Bahagian yang menjadi tarikan utama di Beijing bakal hilang tidak lama lagi," kata pemilik kedai pakaian di lorong Fangjia, Titi, yang terkenal dengan kedai arak dan antik. - Reuters