Mangsa Dihempap Pokok Jalani Pembedahan


KUALA LUMPUR: Seorang mangsa kejadian dihempap pokok awal pagi tadi berhampiran kawasan air terjun Lata Carok, dekat Janda Baik yang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kini berada dalam bilik pembedahan. 

Muhammad Haziq Radzuan, 21, penuntut tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, menjalani pembedahan bagi mengeluarkan darah beku daripada kepalanya selepas dihempap sebatang pokok ketika mengikuti latihan ikhtiar hidup kira-kira jam 4.30 pagi tadi. 

Bapa Haziq, Radzuan Kamaruddin, berkata, anaknya dibawa masuk ke bilik bedah kira-kira jam 3 petang tadi selepas pemeriksaan doktor mendapati ada darah beku di bahagian kiri kepalanya. 

"Apabila sampai di hospital, saya terus ke tingkat 1 untuk berjumpa dengan doktor yang merawat Haziq, saya lihat tubuh anak saya tidak kelihatan sebarang kecederaan serius, cuma nampak ada luka di bahagian muka belah kiri dan kepalanya berbalut. 

"Selepas imbasan baru nampak ada darah beku di bahagian kiri kepala Haziq," katanya kepada pemberita ketika ditemui di HKL sebentar tadi. 

Radzuan berkata, doktor menjangkakan pembedahan akan selesai pada jam 7 malam. Katanya, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh polis yang datang ke rumah pagi tadi. 

Radzuan berkata, dia reda dengan apa yang terjadi cuma merasa sedikit terkilan kerana tidak sempat berjumpa Haziq sebelum anaknya itu bertolak mengikuti program di Janda Baik. 

Dalam kejadian itu, dua penuntut UiTM Puncak Alam maut manakala beberapa yang lain cedera selepas dihempap pokok berdekatan kawasan air terjun Lata Carok, dekat Janda Baik, Pahang. - BHOnline

Subscribe to receive free email updates:

Related Posts :