KOTA SAMARAHAN: Seorang wanita disahkan maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan melanggar sebuah jengkaut di Kilometer 16, Jalan Kota Samarahan-Asajaya dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 8 pagi, mangsa yang dikenali sebagai Nurul Shahirah Siang, 23, maut ditempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaaan Trafik (JSPT) Sarawak, DSP Bingkok John dalam laman Facebook RTM Sarawak berkata, wanita terbabit dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Muara Tabuan menuju ke rumahnya di Kampung Semera Ulu Sadong Jaya.
Menurutnya, pihak polis menerima panggilan kira-kira 8.50 pagi tadi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas dipercayai terbabas sebelum merempuh sebuah jengkaut Hitachi yang diletakkan di tepi jalan.” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-Sarawakiana