Ini bermakna proses merangka semula sempadan pilihan raya bagi negeri Melaka dihentikan sehingga kes mahkamah selesai.
Perkembangan ini menambah kepada usaha yang telah dilakukan di negeri Selangor untuk mencabar cadangan baru SPR.
Kepentingan cabaran undang-undang bagi nasib Pilihan Raya Umum Keempat belas (PRU14) tidak boleh dipandang remeh.
Dorongan SPR untuk memperkenalkan sempadan baru adalah jelas. Sempadan baru yang dirangka itu bertujuan untuk mengalih imbangan kerusi demi menjamin kemenangan yang kuat bagi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.
Dorongan politik sempadan
Menurut penyelidikan Politweet, BN boleh memenangi 11 kerusi tambahan di Dewan Undangan Negeri Selangor berdasarkan sempadan baru yang dicadangkan pada bulan September 2016.
Begitu juga, dalam cadangan September 2016 untuk negeri Melaka, kerusi Bukit Baru yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat dengan lebihan sebanyak 48 undi pada PRU13 akan dimenangi oleh BN dengan lebihan 1,600 undi jika sempadan baru dipakai.
Kerusi marginal Telok Mas yang dimenangi oleh BN dengan hanya lebihan 700 undi pada PRU13 akan menjadi kerusi selamat dengan lebihan 3,000 undi.
Lebih buruk lagi, berdasarkan cadangan September 2016, kerusi Parlimen Bukit Katil yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat pada PRU13 dengan hampir 7,000 lebihan undi kini akan dimenangi oleh BN dengan lebihan undi sebanyak 4,800.
Langkah ini amat mencurigakan kerana pada bulan Ogos 2016, sebulan sebelum cadangan itu disiarkan untuk tatapan umum, Ketua Menteri Melaka telah menggesa SPR untuk mengubah sempadan Bukit Katil agar BN akan dapat memenanginya dengan lebih mudah.
Corak yang sama muncul di seluruh negara. Di Perak, kerusi selamat Pakatan Rakyat pada PRU13, Changkat Jering dan Sungai Rapat, akan dimenangi oleh BN tanpa sebarang perubahan dalam undi. Di Kuala Lumpur, Nurul Izzah Anwar akan kehilangan kerusi Lembah Pantai.
Cabaran undang-undang
Buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, SPR telah diheret ke mahkamah berkali-kali untuk menghentikan penipuan terang-terangannya yang dibuat melalui persempadanan.
Rakyat telah menunjukkan kemarahan mereka, di mana lebih daripada 1,000 bantahan dikemukakan kepada SPR antara September 2016 dan April 2017 berkenaan cadangannya.
SPR telah dibanjiri dengan kes undang-undang mengenai persempadanan.
Setakat ini, ada beberapa hakim Mahkamah Tinggi yang berani dan bersedia untuk mengambil pendirian.
Hakim Azizul Azmi Adnan bagi kes Selangor dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bagi kes Melaka telah memberi kebenaran untuk mendengar hujah kes dan telah menangguh tindakan lanjutan SPR dalam penggarisan semula sempadan di kedua-dua negeri.
Cabaran kerajaan Negeri Selangor kini sedang dibicarakan di mahkamah dan kita telah pun mendengar beberapa kenyataan mengejutkan daripada SPR, termasuk kemusnahan maklumat yang berkaitan dengan 136,000 alamat dalam daftar pemilih.
Saya fikir adalah adil untuk mengatakan bahawa kita boleh menjangkakan lebih banyak lagi penjelasan yang tidak masuk akal daripada SPR dengan berlangsungnya kes tersebut.
Kesan terhadap PRU14
Walaupun Perlembagaan Persekutuan memberi SPR jangkamasa sehingga dua tahun untuk menyelesaikan proses persempadanan semula, SPR seolah-olah terdesak untuk menghabiskan proses tersebut secepat mungkin. Apakah sebabnya? Kita hanya boleh mengagak sebabnya.
Jika SPR betul-betul memandang berat terhadap pematuhan perlembagaan, sebaik sahaja mahkamah membenarkan penangguhan untuk negeri Selangor, sepatutnya proses bagi seluruh semenanjung Malaysia turut berhenti.
Ini kerana perlembagaan menyatakan semenanjung Malaysia mesti dianggap sebagai satu unit apabila pemetaan bahagian pilihan raya dibuat.
Namun SPR telah memutuskan untuk meneruskan proses persempadanan semula dengan "tidak termasuk negeri Selangor".
Adalah jelas SPR mahu cadangan mereka diwartakan tanpa menghiraukan apa kata mahkamah. Ia menunjukkan penghinaan sepenuhnya terhadap kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Bagi tempat-tempat selainnya di negara kita, kita hanya berupaya mengagak apa rancangan SPR.
Ada kemungkinan SPR akan mengambil langkah melanggar perlembagaan dengan menyampaikan cadangan akhirnya kepada Perdana Menteri tanpa melengkapkan proses untuk negeri-negeri Selangor dan Melaka.
Perdana Menteri seterusnya boleh membentangkan sempadan baru di Parlimen pada akhir bulan Julai dan mengumumkan pembubaran Parlimen menjelang Ogos. Pilihan raya umum boleh diadakan seawal bulan September.
Muslihat SPR sama
Read More / Baca Lagi >>