Dalam satu majlis perasmian Syarahan Tun Abdullah Badawi di Putrajaya hari ini, Najib Razak mengumumkan pemberian dana kerajaan sebanyak RM5 juta kepada bekas Perdana Menteri itu.
Pemberian itu diberikan kepada Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Badawi yang baru ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri itu.
"Saya bukan datang dengan tangan kosong. Saya ingin umumkan dana awalan RM5 juta pada legasi Pak Lah.
"Dana akan saya keluarkan tahun ini, kalau tahun hadapan ada rezeki, saya akan tambah lagi," kata Najib dalam ucapannya.
Apakah makna ucapan Najib itu?
Maknanya Najib memberi sumbangan RM5 juta itu adalah kerana kesetiaan Pak Lah yang terus menyokong beliau, UMNO serta kerajaan yang dipimpinnya dan bukan kerana menghargai jasa serta sumbangan bekas Perdana Menteri itu kepada negara.
Bukankah sebagai bekas Perdana Menteri, sumbangan yang diberikan atas apa juga pertubuhan yang dikaitkan dengan beliau, ia seharusnya menjurus kepada jasa dan peranannya selama ini dan bukan kerana kesetiaan semasa?